P Pinang harapkan Zuraida perjuangkan pilihan raya PBT

P Pinang harapkan Zuraida perjuangkan pilihan raya PBT

Selepas gagal kembalikan undi pilihan raya PBT sejak 2012, ketua menteri anggap terbaik serah kepada menteri menanganinya.

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang mahu serahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin tugas mengembalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dihentikan 53 tahun lalu selepas semua ikhtiarnya dalam perkara itu sejak beberapa tahun lalu tidak memberi hasil.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, dengan kuasa luas yang ada pada Zuraida berkaitan kerajaan tempatan, mereka harap beliau mampu melakukannya.

Chow memberitahu sidang media di Komtar hari ini mereka sudah bertungkus-lumus dalam usaha itu, termasuk menggubal undang-undang dalam perkara tersebut, namun dengan penolakan Mahkamah Persekutuan pada 2014, mereka tidak tahu hendak bergantung di mana lagi.

“Kami telah lihat kenyataan perdana menteri dan kita juga lihat Zuraida bersetuju dengan pengembalian semula pilihan raya PBT,” katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak berminat mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan kerana ia mungkin “menghasilkan keputusan salah” dan menimbulkan konflik kaum.

Chow berkata pengembalian pilihan raya PBT tiada dalam manifesto Pakatan Harapan tetapi DAP bertungkus-lumus sejak 7 tahun lalu.

Pada 2013, kerajaan Pulau Pinang dengan bekas presiden Aliran, P Ramakrishnan fail petisyen meminta mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri berhak membenarkan pengundi memilih ahli-ahli majlis seperti dalam Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley).

Pempetisyen juga meminta mahkamah mengisytiharkan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan tidak sah, mendakwa Parlimen melampaui kuasanya dalam Perlembagaan Persekutuan apabila menggubal peruntukan itu.

Mahkamah Persekutuan memutuskan kerajaan Pulau Pinang tiada kuasa mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan. Ia juga memutuskan kerajaan negeri melampaui kuasanya kerana secara sebelah pihak mengecualikan seluruh Pulau Pinang daripada Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan.

Semalam, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang tidak bersetuju dengan pendirian Dr Mahathir, mengatakan perdana menteri mungkin menerima maklumat salah.

Lim berkata, polarisasi kaum di kawasan majlis tempatan sudah diperbetulkan pada 2010 dan kebanyakan majlis didominasi Melayu.

Dari 148 kawasan majlis tempatan, 122 mempunyai majoriti Melayu, sementara 13 lagi tidak di bawah kawalan mana-mana kaum, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.