
Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri Abdul Yunus Jamhari berkata, permohonan tersebut masih dalam peringkat kajian dan belum dimuktamadkan.
“Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) ada membentangkan permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang kepada anggota exco di sini baru-baru ini. Pulau Pinang berkehendakkan air mentah dan Perak tidak bersedia menjual air mentah dan mahu menjual air terawat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat jawatankuasa teknikal ‘Enhancement of Water Resources Management For Sungai Perak Hydroelectric Scheme’ di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli Tan Yew Chong.
Pada tahun lepas, kerajaan Perak di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini enggan menjual air mentah Sungai Kerian kepada kerajaan Pulau Pinang berikutan mereka mahu menjual semula air yang dirawat kepada Perak.
Dalam perkembangan lain, Abdul Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kurau berkata, projek pemindahan bekalan air dari Sungai Perak ke Kolam Bukit Merah bagi menampung permintaan, terutama pada musim kemarau di daerah Kerian masih dalam kajian.
Menurut Abdul Yunus, pihaknya akan mendapatkan pandangan beberapa agensi mengenai kaedah yang sesuai jika ia dilaksanakan, namun setakat ini belum ada keputusan muktamad mengenainya kerana kerajaan negeri bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan pusat.
Mengenai program tersebut, Abdul Yunus berkata, objektifnya adalah untuk membincangkan cadangan ke arah pemerkasaan pengurusan sumber air untuk negeri ini dengan memberikan fokus kepada 4 perkara antaranya keperluan pengangkutan air di sepanjang Sungai Perak serta masalah pengangkutan endapan dan langkah mitigasi terhadap masalah seperti musim tengkujuh dan kemarau.
“Kesemua pengguna air dari lembangan Sungai Perak serta pihak berkepentingan perlu mengambil maklum dan menjadikan penyelidikan ini sebagai rujukan,” katanya.
Tambah Abdul Yunus, Sungai Perak merupakan tulang belakang kepada aktiviti ekonomi di sepanjang lembangan bermula di hulu lembangan Sungai Perak dan 4 empangan hidroelektrik utama iaitu Temenggor, Bersia, Kenering dan Chenderoh.