PAS minta kerajaan perjelas status bantuan musim tengkujuh kepada penoreh, pekebun

PAS minta kerajaan perjelas status bantuan musim tengkujuh kepada penoreh, pekebun

Bajet 2018 BN menyebut tentang bantuan itu, tetapi kerajaan PH tidak memasukkannya ke dalam Belanjawan 2019.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan bantuan telah diluluskan di Parlimen, tetapi pembayaran tidak dibuat.
KUALA LUMPUR:
PAS hari ini meminta kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjelaskan mengenai status bayaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil dan penoreh getah bagi bulan November dan Disember 2018 serta Januari 2019.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam Bajet 2018 kerajaan Barisan Nasional telah menyatakan tentang bayaran itu, namun apabila kerajaan baru PH mengambil alih, mereka tidak memasukkannya dalam Belanjawan 2019.

“Setakat ini pembayaran masih belum dibuat kepada penoreh getah. Kita nak tegaskan, kerajaan kena buat pembayaran. Sekarang sudah bulan Disember, sepatutnya sudah bayar dari November tetapi masih tak dapat. Peruntukan dah lulus, Parlimen dah lulus.

“Persoalan kami, di mana dana itu, di mana duit yang diluluskan di peringkat Parlimen sedangkan pembayaran tidak dibuat kepada penoreh getah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.

BMT diberikan bertujuan menjaga kebajikan pekebun kecil dan penoreh getah terpelihara ketika musim tengkujuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.