
Menterinya, M Kula Segaran berkata pemeriksaan pegawainya di hampir semua kilang milik syarikat itu di sini dan di Ipoh, Perak mendapati pekerja asing melakukan kerja lebih masa secara sukarela kerana mahu meraih pendapatan lebih untuk digunakan dan dihantar ke negara masing-masing.
“Saya tidak nafikan ada pekerja asing yang bekerja lebih daripada masa ditetapkan Akta Pekerja dan kami akan mengambil tindakan atas perkara ini.
“Pengurusan Top Glove juga sudah memberi komitmen untuk mengatasi perkara ini, tetapi saya jamin tiada pekerja asing yang dipaksa bekerja lebih masa di kilang ini seperti dilaporkan,” katanya selepas melawat kilang milik Top Glove di Kawasan Perindustrian Meru Timur, semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Datuk Mohd Jeffrey Joakim, Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr Lim Wee Chai dan Pengarah Eksekutifnya, Lim Cheong Guan.
Lawatan dan pemeriksaan itu diadakan susulan laporan sebuah akhbar asing mendakwa Top Glove memaksa pekerja asingnya bekerja lebih masa.
Menurut Kula Segaran, siasatan pegawai kementeriannya sejak laporan itu dikeluarkan juga mendapati semua dakwaan lain yang dilaporkan akhbar terbabit tidak benar.
“Syarikat ini melakukan semua operasi mereka mengikut akta dan peraturan ditetapkan,” katanya.
Jumaat lalu, akhbar United Kingdom, The Guardian dalam laporannya mendakwa syarikat itu menindas ribuan pekerja asing, termasuk memaksa mereka bekerja lebih masa mencecah 160 jam sebulan, melebihi tempoh bekerja 104 jam yang ditetapkan undang-undang.
Menurut Akta Pekerja 1955, kerja lebih masa maksimum ialah 104 jam sebulan.
Terdapat kira-kira 10,000 pekerja asing di 35 kilang milik Top Glove.
Menurut laporan itu, antara situasi dihadapi pekerja asing berkenaan ialah menjadi mangsa buruh paksa, kerja lebih masa secara paksaan, beban hutang, gaji ditahan dan pasport dirampas.
Ditanya sama ada kerajaan Britain menghubungi pihaknya bagi tujuan siasatan perkara itu, Kula Segaran berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang panggilan atau pertanyaan rasmi daripada pihak berkuasa negara tersebut.
“Kami alu-alukan siasatan oleh kerajaan Britain jika mereka mahu menyiasat perkara ini, tetapi ia perlu dilakukan secara kerajaan dengan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Wee Chai dalam sidang media sama turut menjelaskan beberapa kesilapan fakta dalam laporan akhbar itu.
“Laporan menyebut keuntungan kami ialah 1 bilion pound sterling (RM5.29 bilion) tahun lepas, tetapi keuntungan kami sebenarnya kira-kira RM450 juta atau sekitar 80 juta pound sterling dan United Kingdom hanya menyumbang 0.5% terhadap jualan kami,” katanya.
Sambil meluahkan rasa kesal terhadap laporan itu yang disifatkan tidak bertanggungjawab, beliau menyuarakan kesediaan pihaknya untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dari dalam dan luar negara yang mahu melakukan siasatan ke atas syarikat itu.
Sementara itu, Top Glove Corp Bhd dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam memberi komitmen untuk berusaha lebih menangani isu kerja lebih masa (OT) keterlaluan dan kenaikan fi pengambilan kerja yang dihadapi pekerjanya.
Pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu berkata, kaedah bagi menghalang kerja lebih masa keterlaluan atau melangkaui had 104 jam sebulan, dilaksanakan secara berperingkat di semua kilangnya.
Bagi mengurangkan OT, syarikat itu melaksanakan inisiatif bagi menambah pelaburan dalam aspek automasi, memperkenalkan perubahan aliran syif kerja bagi membolehkan pekerja berehat secukupnya serta kerap mengadakan latihan untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti kerja.
Top Glove berkata, ia juga akan menemui wakil kedutaan negara asal pekerjanya untuk meminta mereka mengambil tindakan segera terhadap isu fi pengambilan kerja terlalu tinggi sehingga menyebabkan bebanan hutang.
“Bagi prospek masa depan, Top Glove akan terus berusaha menambah baik persekitaran serta kesejahteraan pekerjanya secara keseluruhannya yang akan terus dijadikan keutamaan,” katanya dalam kenyataan bagi menjelaskan dakwaan penindasan kerja yang dilaporkan akhbar itu.
Susulan laporan itu, saham Top Glove susut 35 sen atau ditutup 5.93% lebih rendah kepada RM5.55 semalam, dengan 22.26 juta saham didagangkan.