Esszone: Perintah berkurung dilanjut hingga 27 Disember

Esszone: Perintah berkurung dilanjut hingga 27 Disember

Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak dicerobohi oleh pengganas.

Kumpulan Abu Sayyaf dan penculik dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Perintah berkurung di kawasan perairan 7 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dilanjutkan sehingga 27 Dis berkuat kuasa hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan serta Beluran.

“Orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang diisytiharkan antara 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Omar berkata, perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak dicerobohi oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

Beliau berkata, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat yang berada di kawasan daratan Esszone.

Perintah berkurung tersebut akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha calet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan, katanya.

Omar berkata, berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di Esszone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.