AS gesa Eropah tarik diri projek saluran paip gas dengan Rusia

AS gesa Eropah tarik diri projek saluran paip gas dengan Rusia

Kongres AS dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan ke atas projek Nord Stream 2, termasuk mengenakan sekatan.

Projek paip gas kedua ditaja Rusia itu untuk menyalurkan gas ke Eropah menerusi dasar Laut Baltik, merentasi Ukraine, Belarus, Poland serta negara Eropah Timur dan Baltik yang lain.
WASHINGTON:
Amerika Syarikat (AS) menggesa negara-negara Eropah menarik diri daripada bekerjasama dengan Rusia dalam projek saluran paip Nord Stream 2, lapor agensi berita Xinhua.

Perkara itu disuarakan Penolong Setiausaha Sumber Tenaga AS, Frank Fannon ketika menyampaikan taklimat kepada media pada Isnin.

Fannon semasa lawatannya ke Eropah telah mengadakan pertemuan dengan pegawai dari Croatia, Hungary dan Republik Czech.

Pada pertemuan itu beliau mahu negara berkenaan menjauhkan diri daripada terus bergantung dengan Rusia.

“Ia bukan projek komersial, sebaliknya dijadikan alat politik. Melalui Nord Stream 2, Rusia berusaha meningkatkan pengaruhnya di barat dan menghapuskan Ukraine dari Eropah,” katanya.

Kongres AS juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan ke atas projek berkenaan, termasuk mengenakan sekatan.

Bagaimanapun German akan terus menyokong dan bekerjasama dalam projek itu.

Menteri Luar Jerman, Heiko Maas memberitahu media awal bulan ini bahawa negaranya tidak akan menarik balik sokongan politiknya untuk projek itu.

Jurucakap media Jerman, Steffen Ebert berkata, pada awal Nov pembinaan kira-kira 100 kilometer paip gas di wilayah Jerman untuk projek Nord Stream 2 telah selesai.

Sementara itu, pengerusi syarikat tenaga gergasi Rusia, Gazprom, Viktor Zubkov berkata pada Jumaat pembinaan saluran paip Stream 2 diteruskan mengikut jadual.

Projek paip gas kedua ditaja Rusia itu untuk menyalurkan gas ke Eropah menerusi dasar Laut Baltik, merentasi Ukraine, Belarus, Poland serta negara Eropah Timur dan Baltik yang lain.

Pembinaan dirancang secara usaha sama antara Gazprom dan 5 syarikat Eropah.

Ia direka untuk menyalurkan 55 bilion meter padu gas asli Rusia setiap tahun ke Kesatuan Eropah dan dijangka dilaksanakan menjelang 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.