Wakil BN keluar Dewan Rakyat, bantah keputusan timbalan speaker

Wakil BN keluar Dewan Rakyat, bantah keputusan timbalan speaker

Sebelum itu 2 Ahli Parlimen BN diarah keluar dewan kerana mengganggu persidangan.

Tajuddin dan Bung Mokhtar sebelum itu tidak membenarkan Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung berhujah selagi Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer tidak membuat permohonan maaf.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) bertindak keluar Dewan Rakyat selepas tidak berpuas hati 2 Ahli Parlimennya diarah oleh Timbalan Spekaer, Datuk Rashid Hasnon.

Rashid sebelum itu mengarah keluar 2 Ahli Parlimen Umno, iaitu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak-Umno) dan Datuk Bung Moktar Radin (Kinabatangan-Umno) kerana mengganggu sesi pergulungan Rang Undang-Undang Kewangan 2018 kira-kira 10 init.

“Disebabkan mengganggu (untuk perbahasan) di Dewan Rakyat, saya minta bentara Dewan Rakyat bawa Pasir Salak dan Kinabatangan keluar,” katanya di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Tajuddin dan Bung tidak berpuas hati apabila tiada permohonan maaf dibuat oleh RSN Rayer (Jelutong-PH) selepas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Ariff Md Yusof memutuskan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh dibenarkan hadir persidangan Dewan Rakyat.

Ketika itu, Chan Ming Kai (Alor Setar-PH) sedang berucap dalam sesi pergulungan Rang Undang-Undang Kewangan 2018.

Tajuddin dan Bung sebelum itu tidak membenarkan Gooi berhujah selagi Rayer tidak membuat permohonan maaf.

Tindakan itu berulang kali dilakukan kedua-dua Ahli Parlimen itu sehingga menggangu Dewan Rakyat dan keadaan mula kecoh.

Rashid pula pada mulanya tidak membenarkan permohonan maaf itu dibuat berikutan berpandangan tiada kesilapan dilakukan Speaker.

Rayer juga ketika itu enggan memohon maaf berdasarkan kenyataan Speaker sebelum itu yang menjelaskan sebab Sivarraajh diarah keluar Dewan Rakyat sebelum ini.

Setelah Tajuddin dan Bung diarah keluar, Ahli Parlimen BN keluar dewan tanda protes terhadap keputusan Rashid.

Ariff sebelum itu memutuskan Sivarraajh dibenarkan hadir persidangan kerana perkara itu bukan kekosongan luar jangka yang memberi kuasa kepada Speaker untuk memaklumkan kepada SPR.

Beliau berkata kekosongan kerusi itu yang disebabkan oleh perintah Mahkamah Pilihan Raya memerlukan mahkamah memaklumkan kepada SPR tentang keputusannya.

Ariff berkata, memandangkan Sivarraajh menyatakan hasratnya untuk mengemukakan rayuan, perakuan tidak akan dikeluarkan oleh Mahkamah Pilihan Raya dan akan dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan selepas proses rayuan selesai.

Beliau berkata, oleh kerana SPR hanya akan mengisytiharkan sesuatu kerusi sebagai kosong selepas menerima perakuan daripada mahkamah, maka sehingga proses rayuan selesai, Sivarraajh masih dianggap sebagai Ahli Parlimen.

Pada 5 Disember lalu, Ariff dilaporkan mengarahkan Sivarraajh meninggalkan Dewan Rakyat sehingga beliau mendapat nasihat peguam pakar sama ada rayuan beliau difailkannya secara automatik dan menyebabkan penggantungan sementara sebagai Ahli Parlimen berikutan keputusan mahkamah sebelum ini.

Sivarraajh berkata, nasihat pakar ialah selagi Mahkamah Tinggi tidak menghantar notis penghakiman kepada speaker bahawa kerusi Parlimen Cameron Highlands dikosongkan, maka beliau masih Ahli Parlimen kawasan itu yang sah dan boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan BN di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum ke-14 terbatal dan tidak sah kerana berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi.

Perkara 36(2) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 menetapkan hakim pilihan raya hendaklah dalam masa 14 hari selepas membuat keputusannya membuat perakuan mengenai keputusan itu kepada SPR bagi mana-mana pilihan raya yang dikendalikannya.

Sementara Perkara 36A (1) akta yang sama memberi kebenaran kepada pempetisyen atau calon terlibat membuat rayuan terhadap keputusan hakim pilihan raya kepada Mahkamah Persekutuan juga dalam tempoh 14 hari selepas keputusan dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.