Malaysia bidas Singapura dedah dokumen ruang udara secara terpilih

Malaysia bidas Singapura dedah dokumen ruang udara secara terpilih

Putrajaya berkata Singapura mendedahkan dokumen secara terpilih untuk mempengaruhi pendapat umum.

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan menggesa rakan di Singapura jangan bersikap terpilih dalam mendedahkan dokumen berkaitan rundingan yang diadakan dengan Malaysia berkenaan tatacara Instrumen Sistem Pendaratan (ILS) Lapangan Terbang Seletar.

Ia menghargai usaha Kementerian Pengangkutan Singapura menunjukkan ketelusan dengan mendedahkan dokumen-dokumen itu 4 Disember lalu, tetapi berdukacita dokumen-dokumen lain tidak didedahkan.

“Pendedahan itu hanya sebahagian dan terpilih dengan matlamat untuk mempengaruhi pendapat umum,” katanya dalam kenyataan.

Ia menggesa Kementerian Pengangkutan Singapura mendedahkan surat daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kepada rakan di republik itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura, bertarikh 9 Oktober, 15 November, 21 November dan 28 November tahun ini.

“Kegagalan berbuat demikian, kami bersedia mendedahkan surat-surat itu sepenuhnya agar orang ramai faham pendirian kami berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

ILS adalah bantuan navigasi pendaratan untuk memandu pesawat ke landasan.

Menteri Loke Siew Fook berkata ILS baharu Lapangan Terbang Seletar memasuki ruang udara Pasir Gudang.

Loke berkata Malaysia tidak membantah pembangunan lapangan terbang itu tetapi tidak boleh terima sistemnya beroperasi dalam ruang udara Johor. Beliau berkata kerajaan memaklumkan perkara itu kepada Singapura pada 28 November dan 29 November.

Beliau berkata Singapura memancarkan ILS itu dalam Penerbitan Maklumat Aeronautik (AIP) pada 1 Disember yang akan berkuatkuasa pada 3 Januari, bertentangan dengan prinsip kedaulatan negara yang ditetapkan oleh Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa.

Loke bagaimanapun berkata Malaysia tidak akan mengambil pendekatan konfrontasi dalam perkara itu dan kerajaan sedia bertemu pihak berkuasa Singapura untuk memulakan perbincangan dan rundingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.