4 individu disyaki serang Adib bebas reman

4 individu disyaki serang Adib bebas reman

2 suspek dibebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM2,000 manakala 2 lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Semua suspek itu direman berhubung serangan ke atas anggota bomba dalam rusuhan kuil pada 27 Nov lalu.
PETALING JAYA:
Empat lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim yang diserang awal pagi 27 Nov lalu dibebaskan daripada tahanan reman, hari ini.

Majistret Nurshahirah Abd Salim membenarkan 2 suspek dibebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM2,000 manakala 2 lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Semua mereka yang berusia 21 hingga 24 tahun direman selama 4 hari bermula Jumaat, 7 Dis lepas mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Mereka diwakili peguam R Sritheren.

Dalam kejadian itu, Adib, 24, dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di depan kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, menyebabkan rusuknya patah, di samping kecederaan dalaman lain.

Adib kini dilaporkan menunjukkan perkembangan positif namun masih bergantung kepada mesin sokongan jantung.

Sementara itu, Majistret Mohd Ikhwan Mohd Nasir mengeluarkan perintah reman selama 6 hari terhadap seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan kes siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku di kuil tersebut.

Lelaki itu ditahan bermula hari ini sehingga 15 Dis depan bagi membantu siasatan kes di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).

Hari ini, Ketua Polis Negara Mohd Fuzi Harun menegaskan tangkapan suspek kes berkaitan rusuhan itu masih sama (106 orang) dan tiada sebarang tangkapan baharu.

“Bagaimanapun, setakat Sabtu lalu, 7 individu daripada 66 individu dicari polis sebelum ini tampil memberi keterangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.