Kerajaan tangguh bayaran PTPTN secara potongan gaji

Kerajaan tangguh bayaran PTPTN secara potongan gaji

Maszlee Malik berkata penggantungan itu dibuat sehingga pihaknya menerima input dan maklum balas kolektif dari semua pihak yang berkepentingan.

PTPTN sebelum ini mengarahkan kaedah pembayaran balik pinjaman secara PGB mulai Januari 2019.
PETALING JAYA:
Kerajaan hari ini mengumumkan penangguhan sementara waktu bagi pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendididikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara potongan gaji berjadual (PGB).

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata, penangguhan itu dibuat sehingga pihaknya menerima input dan maklum balas kolektif dari semua pihak yang berkepentingan.

“Skim pembayaran balik potongan gaji berjadual PTPTN akan digantung buat sementara waktu sehingga kami menerima input dan maklum balas kolektif dari semua pihak berkepentingan,” katanya menerusi Twitter.

Sebelum ini, Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata, PTPTN akan melaksanakan kaedah bayaran balik pinjaman secara progresif atau PGB bermula Januari 2019.

Wan Saiful berkata, kaedah PGB itu akan dilaksanakan mengikut peratus potongan daripada gaji peminjam apabila gaji mencecah RM2,000 sebulan dan peratus potongan adalah di antara 2 hingga 15%.

Bagaimanapun, kaedah yang diumumkan itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk peminjam.

Maszlee dalam kenyataan media selepas itu pula menyatakan PTPTN perlu menghargai perjanjian ujrah yang ditandatangani dengan peminjam sebelum ini.

“Tidak harus mengenakan skim baharu ini ke atas kesemua peminjam sekaligus, terutama bagi mereka yang telah menyatakan komitmen untuk membuat bayaran setiap bulan tanpa melibatkan potongan gaji,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.