
Adun Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata larangan itu berlaku apabila mereka dijemput merasmikan sesebuah program di masjid oleh badan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang bekerjasama dengan masjid.
“Kita tak dibenarkan bercakap di dalam masjid, ini saya rasa perlu satu penjelasan atau arahan daripada kerajaan negeri.

“Adakah kita sebagai wakil rakyat yang dipilih melalui amalan demokrasi Parlimen dalam negara, kami tak dibenarkan bercakap di dalam masjid sedangkan kita bukan berpolitik tapi kita nak sebut berkaitan insentif kerajaan negeri kepada seluruh masyarakat dalam negeri Selangor,” katanya ketika berucap di DUN Selangor hari ini.
Sany yang juga ketua Pemuda Amanah menegaskan pihaknya bukan mahu bercakap berkaitan politik di dalam masjid.
“Tidak sama sekali. Di masjid kita faham sebab kita akur dengan titah sultan. Kita tak mahu berpolitik dalam masjid,” katanya.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari kemudiannya menjelaskan mana-mana Adun dari semasa ke semasa boleh memohon kebenaran berucap di masjid melalui pejabat agama daerah.
“Dan ia bergantung kepada kelulusan yang dikeluarkan. Sebenarnya ada sesetengah Yang Berhormat diberikan kebenaran sementara 1 minggu, 2 minggu.
“Jadi makluman tentang itu boleh dirujuk apabila kita berkomunikasi dengan pejabat agama sedia ada dan larangan berucap sebahagiannya dibuat untuk mengelakkan kontroversi. Kalau mereka melakukan kesilapan, kita boleh tangkap dan boleh dakwa,” katanya.