
Berdasarkan laporan itu, daripada 19 seksyen melibatkan badan itu, 6 didapati tidak direkodkan, 3 tidak diiktiraf atau disahkan dan 3 lagi menunjukkan perbezaan penyata kewangan.
“Baki Pendahuluan dan Penghutang Pinjaman pada 31 Disember 2017 tidak dapat disahkan kerana Finas tidak mengemukakan sebarang jadual sokongan bagi menjalankan kerja pengauditan.
“Baki Penghutang Sewaan di penyata kewangan berbeza dengan laporan pengumuran penghutang berjumlah RM958,134. Baki Penghutang Sewaan berjumlah RM468,032 tidak dikutip sejak tahun berakhir 31 Disember 2016,” kata laporan itu.
Laporan lain menunjukkan 1 tidak diaudit untuk laporan kepada ketua audit, 1 tidak selaraskan transaksi, 3 tidak diakaunkan dan 2 tidak dikutip bayaran.
“Pembelian tanah dan bangunan di Kuching, Sarawak bernilai RM1.40 juta tidak direkodkan,” petik laporan itu.
Turut dilaporkan, baki penghutang sewaan berjumlah RM2.78 juta tidak dikutip sejak tahun berakhir 31 Disember 2016.
LKAN 2017 Siri 2 dikeluarkan hari ini oleh Jabatan Audit Negara bagi tempoh Jun hingga berakhir Disember 2017.
Terdahulu, bekas pengerusi Finas yang juga penyandang Adun Slim River, Datuk Khusairi Abdul Talib meletak jawatan kurang seminggu selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan. Kekosongan itu belum diisi sehingga kini.
Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob dilaporkan berkata, terdapat beberapa nama termasuk tokoh berpengalaman dalam industri perfileman tanah air sudah diberi kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk dipertimbangkan.
Sebelum ini, media melaporkan kementerian berkenaan bakal mengumumkan nama pengerusi baru akhir minggu lalu, namun sehingga kini tiada nama baru diumumkan.