
Beliau mendedahkan pihaknya sudah melakukan 2, 3 pertemuan dengan pihak-pihak berkepentingan.
“Saya anggarkan 1 minggu, 2 minggu kita boleh dapatkan kata putus kalau semua pihak bertolak ansur,” katanya kepada pemberita di ruang legar Dewan Negeri Selangor hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pemaju tidak akan mengambil sebarang langkah sehingga permohonan injunksi penuh oleh penganut Hindu kuil tersebut yang akan didengari pada 11 Januari tahun depan diputuskan.
Kuil berkenaan dijadualkan berpindah pada 22 November berikutan penyelesaian mahkamah melibatkan pemaju, One City Development Sdn Bhd, kerajaan Selangor dan 2 penuntut terhadap pentadbiran kuil, K Chellapa dan M Nagaraju.
Bagaimanapun satu kumpulan dalam kalangan penganut di kuil berkenaan berkeras mahu ia dikekalkan di tapak sedia ada, dan tidak dipindahkan ke tapak baru 3km dari situ, walaupun selepas bersetuju berbuat demikian dalam satu penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi pada 2014.
Had waktu operasi premis hiburan
Sementara itu, Amirudin turut ditanya adakah Selangor akan mengikut langkah Kuala Lumpur mempertimbangkan cadangan mengehadkan waktu operasi semua premis hiburan sehingga 1.00 pagi.
Amirudin berkata kerajaan negeri akan menilai kesesuaian dasar itu, antaranya berdasarkan kawasan dan penduduk.
“Sebelum ini pernah dihadkan sampai 3.00 pagi dan secara asasnya kawasan tersebut jauh daripada penduduk dan sebagainya,” katanya.
“Saya akan membawakan perkara ini dalam mesyurat exco minggu depan atau minggu satu lagi dan minta untuk dibincangkan,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata pihaknya akan mengemukakan nama calon bagi jawatan exco hal ehwal Islam, pendidikan dan pembangunan modal insan kepada Istana Selangor akhir bulan ini.
“Saya harus mengemukakan kepada Sultan Selangor dalam tempoh yang terdekat,” katanya.
Jawatan tersebut kosong selepas penyandangnya Prof Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia 2 Ogos lalu.
Ganabatirau dipanggil polis
Dalam perkembangan lain, Exco Selangor V Ganabatirau berkata beliau dipanggil polis jam 6.30 petang ini untuk memberi keterangan susulan kenyataannya mengatakan kumpulan orang Islam menyerang kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 26 November lalu.
“Mungkin saya awalkan nanti. Saya akan hubungi mereka dan awalkan,” katanya kepada pemberita di lobi DUN Selangor hari ini.
Ganabatirau yang juga exco pemberdayaan dan pembangunan sosial ekonomi dan kerajaan prihatin, sebelum ini dikecam selepas didakwa mengatakan “Muslim group” atau kumpulan orang Islam menyerang kuil dalam satu catatan Facebook.
Beliau kemudian menyunting catatan itu, menggantikan “Muslim group” kepada “group of gangsters” atau sekumpulan samseng.
Bagaimanapun, pada 28 November lalu, Ganabatirau kemudiannya membuat permohonan maaf secara terbuka di DUN Selangor.
Beliau juga tidak bersetuju cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan polis menggunakan undang-undang kontroversi berhubung kekecohan kuil tersebut.
“Itu melanggar hak asasi manusia. Saya sendiri menjadi mangsa dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri selama 1 setengah tahun dahulu. Kalau saya ubah pendirian saya tak baik.
“Bagi saya penahanan untuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma khususnya terhadap gansterisme yang berlaku itu wajar.
“Bagaimanapun siasatan dan pendengaran untuk keadilan itu mesti ada. Bukan sebab kita membantah Sosma, terus tutup mata. Sosma itu pun kalau anda kaji balik mereka ada pendengaran, ada juga siasatan dan diberi ruang dibawa ke mahkamah,” katanya.