
“Kalau budak-budak pukul 10 kena tidur. Ni pukul 1. Terpulang pada dia. Kalau dekat United Kingdom dan negara lain pun semua ada lesen. Semua ada waktu tutup, bukan main ikut suka dia sahaja. Tiada negara yang tiada langsung undang-undang, bagi operasi ikut suka,” katanya.
Dalam catatan di laman Facebooknya sebelum ini, Siti Kasim berkata, orang ramai bukanlah kanak-kanak yang perlu diberitahu di mana mereka perlu berada atau tidak berada selepas jam 1 pagi.
“Kita manusia merdeka dan berhak membuat keputusan sendiri. Jika anda fikir anda boleh menyalahgunakan kuasa yang diberikan oleh undang-undang ‘dengan memakaikannya dengan jubah moral’, fikir sekali lagi,” katanya.
Siti Kasim juga mendakwa Khalid menggunakan perkara itu “bagi menunjukkan keunggulan, bukannya cuba memahami kita”.
“Bukan undang-undang yang menyekat kebebasan kita, sebaliknya kepercayaan anda yang melihatnya sebagai belenggu,” tambah beliau.
Khalid berkata, cadangan tersebut hanya melibatkan pusat hiburan yang mempunyai lesen perniagaan sehingga jam 1 pagi, tetapi bertindak meneruskan perniagaan melebihi masa yang ditetapkan.
“Kita kena ikut lesen. Hanya kali ini mulai tahun depan kita akan bertindak tegas. Maknanya kalau lesen pukul 1, jadi pukul 1 lah. Kita ni masalah rasuah. Ada yang lesen pukul 1 tapi bila disogok dia jalan sampai pukul 3. Kita tak nak lah macam tu.
“Kalau dah lesen kata pukul 1, jadi pukul 1 sahajalah. Kalau kata pukul 3, pukul 3, kalau kata pukul 5, pukul 5. Saya beri contoh pukul 1, nanti dia (media) kata semua pukul 1 pula,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Kembali ke Sekolah, di Lembah Pantai dekat sini, hari ini.
Sebelum ini Khalid dilaporkan berkata, terdapat banyak premis hiburan di Kuala Lumpur yang sepatutnya ditutup pada jam 1 pagi, tetapi terus membuka perniagaan hingga jam 5 pagi.
Katanya, langkah itu bertujuan mengingatkan orang ramai tentang keperluan menghabiskan lebih banyak masa serta wang dengan keluarga mereka.
Khalid dalam pada itu berkata, satu perbincangan lanjut bersama DBKL akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi mengenal pasti prosedur serta peraturan yang perlu dipatuhi oleh semua kelab malam dan premis hiburan di bandar raya ini.
“Yang penting bila peraturan ditentukan, semua kena ikut.”
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan sebelum ini berkata, pihaknya akan mengesyorkan supaya premis hiburan di sekitar ibu kota dibenarkan untuk beroperasi sehingga jam 1 pagi.