Mat Said paling sesuai teraju Umno Terengganu, kata bekas exco

Mat Said paling sesuai teraju Umno Terengganu, kata bekas exco

Bekas menteri besar Ahmad Said dikatakan pilihan akar umbi, selain Idris Jusoh.

Bekas MB Terengganu, Ahmad Said menjadi harapan majoriti akar umbi Umno dan rakyat Terengganu.
PETALING JAYA:
Selepas Naib Presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan akan menyerahkan kembali jawatan pengerusi Umno Terengganu kepada pemimpin tempatan, siapakah individu yang layak masih lagi menjadi tanda tanya.

Spekulasi bertiup kencang sejak beberapa hari lalu bahawa 2 individu disebut-sebut bakal menerajui kembali jawatan nombor satu Umno negeri itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal Datuk Seri Ahmad Said dan Ahli Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh.

Bekas exco Terengganu Datuk Mohd Jidin Shafee secara peribadi menyokong penuh jika Ahmad Said dipilih semula menerajui Umno Terengganu.

Katanya, harapan itu disuarakan majoriti akar umbi Umno dan rakyat Terengganu.

“Sekarang ini bila kita turun ke bawah, rakyat sebut ‘jauh lagi bagus Ahmad Said’, maknanya ada kesan dia. Yang lain bukan tidak bagus tapi Ahmad Said ada kelebihan dia,” katanya kepada FMT.

Bekas ketua Umno Setiu itu berkata, selain Ahmad yang menjadi pilihan utama, 10 Adun Barisan Nasional yang menang pilihan raya umum lalu layak mengisi jawatan tinggi seperti timbalan pengerusi dan setiausaha.

“Sebab fokus menjadi senang,” katanya.

“Selebihnya diisi oleh ketua-ketua bahagian termasuk Idris sebab suara Ahli Parlimen penting untuk di angkat di peringkat pusat,” katanya.

Ahmad Said dan Idris merupakan bekas menteri besar dan pengerusi Umno Terengganu.

Idris memegang jawatan pengerusi dari 2000 hingga 2004 dan menggalas tanggungjawab menteri besar dari 2004 hingga 2008.

Sementara Ahmad Said menyandang jawatan itu dari 2008 hingga 2014.

Ahmad Said melepaskan jawatan menteri besar dalam satu krisis pelantikan pada Mei 2014.

Jawatan itu kemudian diisi Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Pada pilihan raya umum lepas, BN hanya memenangi 10 daripada 32 kerusi D3wan Undangan Negeri dan 2 daripada 6 Parlimen.

Mengulas lanjut, Jidin yang juga antara pemimpin veteran berkata, memilih wakil rakyat menerajui Umno negeri dapat membantu menyelesaikan masalah kewangan parti.

“Kalau wakil rakyat yang pegang jawatan sekurang-kurangnya ada duit. Jadi tidak, timbul isu tak ada duit. Kalau pilih mereka yang tidak ada kerja susah nak gerakkan parti,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau menyokong Umno dan PAS menjalinkan kerjasama, Jidin secara peribadi bersetuju.

“BN tidak boleh bersendirian, satu parti tidak mampu untuk memerintah. Gabungan ini mustahak sebab ada perkara sensitif kepada isu pribumi dan soal Islam sebagai agama persekutuan perlu diutamakan.

“Setiap parti tidak perlu ungkit perkara lama. Yang lepas biar lepas. Mungkin kelemahan kita dulu tidak nampak, tidak ada hidayah, jadi kita fokus ke depan sekarang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.