Mat Said digugur sebagai ketua Umno Terengganu

Mat Said digugur sebagai ketua Umno Terengganu

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi pula dilantik mengetuai Umno negeri.

Ahmad Said digantikan Ketua Umno Hulu Terengganu Rozi Mamat bagi mengetuai Umno Terengganu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said digugurkan sebagai ketua Umno negeri, umum Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, jawatan itu akan diisi Ketua Umno Hulu Terengganu Rozi Mamat, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan, Asyraf turut mengumumkan pelantikan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengetuai Umno negeri berkuat kuasa serta-merta.

Beliau menggantikan Ahli Parlimen Kota Tinggi Khaled Nordin, yang memegang jawatan itu sejak Januari lalu.

“Mewakili keluarga besar Umno juga, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan buat Khaled Nordin dan Ahmad Said atas segala pengorbanan, usaha dan komitmen yang tinggi dalam memimpin Umno Johor dan Terengganu selama ini.

“Moga dapat meneruskan usaha memperkukuhkan dan memperkasakan Umno sebagai wadah perjuangan bangsa, agama dan tanah air,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Onn Hafiz merakamkan terima kasih kepada Presiden Zahid Hamidi kerana memberi kepercayaan kepadanya mengetuai Umno Johor.

“Saya mohon kepimpinan dan ahli Umno Johor dapat bersama bergerak sebagai satu pasukan dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.