
Mariam Mokhtar berkata integrasi dengan integriti bukan satu dongeng, dan tidak mustahil, jika semua halangan yang memisahkan rakyat disingkir, dan “kita mula menghormati budaya dan kepercayaan orang lain”.
“Jika anda mahukan integrasi nasional, ini yang anda perlu lakukan: keluarkan ‘bangsa’ dan ‘agama’ dari kad pengenalan; larang dasar tindakan afirmatif dan perkauman; rapatkan jurang kekayaan antara orang yang memerlukan dan tidak memerlukan.
“Juga, jangan politikkan bahasa; layan rakyat Malaysia Timur dan Barat sama, dan benarkan kebebasan media dan kebebasan bersuara,” katanya dalam kuliah bertajuk “Integration with Integrity: Without Fear or Favour” di Holiday Villa malam tadi.
Beliau menggambarkan integrasi nasional seperti perkahwinan, atau hbungan, yang memerlukan “kerja keras, lawak jenaka dan saling hormat-menghormati, untuk menjadi harmoni”.
“Peristiwa 9 Mei memberikan pencetus kepada permulaan baru dalam Malaysia Baharu. Seterusnya, kita perlu berani maju.”
“Kita mulakan sekarang. Mungkin kita tidak akan dapat rasai nikmatnya, tetapi anak dan cucu-cucu kita mungkin akan rasainya,” katanya.
Seperti mendiang Dr Tan Chee Khoon, Mariam berkata rakyat perlu mengutamakan perkara-perkara paling penting, dan mempunyai kekuatan diri untuk hidup dengan integriti.
Bercakap di siri kuliah Tan Chee Khoon kedua, Mariam berkongsi pengalamannya bersekolah di sekolah mubaligh, mengimbau kembali zaman persekolahan yang mencerminkan Malaysia berbilang kaum yang diwarisi daripada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.
Beliau berkata ketika itu, murid-murid gembira makan, main dan kerja dengan kanak-kanak daripada kaum, kepercayaan dan budaya lain. Mereka akan mengunjungi rumah masing-masing, terutama di hari perayaan seperti Hari Raya, Krismas, Deepavali, Gawai dan Tahun Baru Cina.
“Kami menikmati integrasi pelbagai budaya dan kepercayaan yang terbaik. Sekolah mubaligh dan universiti sangat dipandang tinggi.
“Sekolah bukan sahaja untuk mendapatkan ilmu. Ia juga medan kita belajar bagaimana berdepan cabaran, membina kekuatan, mengatasi kelemahan, menerima tanggungjawab dan belajar tentang kepaduan sosial dan toleransi apabila bergaul dengan orang lain,” katanya.
Bagaimana, Mariam berkata keadaan tidak lagi seperti itu, apabila pendidikan dilemahkan, atas nama kaum, agama dan negara, sehingga menjejaskan integrasi dan integriti.
Beliau berkata ia boleh dipulihkan dengan mengikut 10 peraturan asas, iaitu jangan berbuat sesuatu demi wang; memulihkan Sindrom Periuk Nasi (SPN) dalam diri; belajar berkomunikasi; takut pada Tuhan, bukan simbol agama; menjaga ikatan kekeluargaan; pendidikan, bukannya pembasuhan otak; berkhidmat kepada rakyat, bukan diri sendiri; jangan salahkan orang lain; jangan takut bekerja keras; berfikir dan memilih secara bijak.
“Dr Tan berkhidmat atas rasa cinta, bukan wang. Dia bersemangat memperjuangkan pendidikan kerana pendidikan menyelamatkan dia daripada kemiskinan.
“Dia membiayai pelbagai anugerah dan biasiswa untuk pelajar-pelajar cemerlang di sekolah-sekolah dan universiti-universiti,” katanya, dan dia mengalakkan orang membantu golongan miskin.
Mariam berkata Tan tidak mengalami SPN, dan kerana kelantanganya, dia digelar “nurani negara” dan “tuan pembangkang”.
“Kalah ada lagi ramai Dr Tan, 3 generasi yang menderita bawah dasar-dasar tidak adil boleh dielakkan,” katanya.
Walaupun Tan menyokong bahasa Melayu, Mariam berkata dia memberi amaran golongan nasionalis akan menggagalkan penguasaan bahasa Inggeris, yang akhirnya berlaku.
“Hari ini, beberapa orang merasakan bercakap bahasa Inggeris tidak patriotik,” katanya.
Mariam berkongsi pengalaman anak saudaranya di minggu pertama di sebuah sekolah asrama Mara, di mana dia dipukul kerana bercakap bahasa Inggeris. Dia berkata salah seorang yang mengasarinya ialah seorang guru.
Mariam terkenang zaman di sebuah sekolah convent, di mana murid-murid berkongsi makanan di waktu rehat adalah perkara biasa, tetapi hari ini, beberap guru memarahi kanak-kanak Melayu kerana berkongsi makanan dengan kawan-kawan bukan Melayu.
“Semasa muda, kantin sekolah dibuka di bulan Ramadan, tetapi hari ini, kanak-kanak bukan Islam dipaksa makan di bilik persalinan.
“Di beberapa sekolah di kawasan pedalaman di Semenanjung dan Sabah, kanak-kanak bukan Islam didakwa dipaksa berpuasa di bulan berpuasa.
“Hari ini, beberapa orang Islam enggan makan, atau berkunjung, rumah kawan-kawan bukan Islam, walaupun kawan-kawan mereka berusaha menyediakan makanan halal,” katanya.
Mariam bercakap tentang bagaimana Tunku menjual rumah di Pulau Pinang untuk membiaya Umno kerana parti itu tiada wang apbiala dia mengambil alih kepimpina parti dari Datuk Onn Jaafar.
“Hari ini, beberapa pemimpin mencuri wang pembayar cukai untunk membiayai gaya hidup mereka mereka seperti rumah mewah, berlian merah jambu dan beg tangan. Mereka juga curi susu yang diperuntukkan untuk murid-murid miskin,” katanya.
Sementara itu, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, isteri kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pemimpin DAP Lim Kit Siang, dan mendiang Karpal Singh, menjadi penerima Anugerah Integriti Tan Chee Khoon 2018 atas khidmat mereka.
Anugerah itu disampaikan oleh bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan. Mariam menerima anugerah itu bagi pihak Siti Hasmah, yang tidak dapat hadir, manakala isteri Karpal, Gurmit Kaur menerima bagi pihak suami.
Tan merupakan tokoh besar dalam politik negara dari 1959 hingga 1978, hinggakan dia dinamakan “tuan pembangkang” kerana lantang bersuara di Parlimen. Dia adalah ketua pembangkang dari 1964 hingga 1978.
Tan pada asalnya pemimpin Parti Buruh Tanah Melayu dan gabungan Barisan Sosialis, yang disertai partinya.
Tan kemudian bersama mengasaskan Gerakan, dan juga Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas), selepas dia kecewa dengan Gerakan.