Exco: MB temui semua pihak dalam isu kuil Seafield tidak lama lagi

Exco: MB temui semua pihak dalam isu kuil Seafield tidak lama lagi

V Ganabatirau berkata sebelum ini usaha mencari penyelesaian menemui jalan buntu kerana wujud 4 pihak berbeza pandangan.

V Ganabatirau.
KUALA LUMPUR:
Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari dijangka mengadakan pertemuan dengan semua pihak yang terlibat dalam kemelut berhubung pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya dalam tempoh terdekat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Exco V Ganabatirau berkata anggota Kabinet daripada masyarakat India juga dijangka turut serta dalam pertemuan itu.

Beliau ketika ditemui di Wisma Bernama hari ini berkata, sebelum ini usaha mencari jalan penyelesaian menemui jalan buntu berikutan wujud 4 pihak yang berbeza pendirian berkenaan penempatan tapak baharu kuil itu.

“Di peringkat kerajaan negeri, kita tidak akan mengingkari keputusan Mahkamah Tinggi yang menetapkan kuil itu perlu dipindahkan ke satu kawasan baharu dan sekarang kita perlu hadapi 4 pihak yang berbeza pendirian dalam hal ini.

“Berdasarkan undang-undang sedia ada saya cadangkan agar 1 jawatankuasa di peringkat kerajaan pusat dapat ditubuhkan bagi menyelia isu sebegini, seperti di Selangor kita ada Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam. Malahan jika Hindu Endowment Board dapat ditubuhkan pun bagus juga,” kata Ganabatirau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.