
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sistem itu perlu diperluas bagi memastikan negara berjalan seiring dengan negara luar, selain membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang kini terbeban kerana kesan jenayah rasuah oleh pemimpin terdahulu.
“Bila guna tunai, kadang-kadang ia diguna untuk rasuah dan sebagainya. Kalau kita guna sistem tanpa wang akan sukar bagi mereka untuk menyogok wang rasuah kepada sesiapa kerana ia akan direkod.
“Perbelanjaan akan direkod dalam bank dan sistem lain supaya kita dapat tahu siapa yang memberi dan terima wang sogokan. Inilah cara kerajaan untuk kurangkan kos hidup.
“Kalau tiada rasuah tentu kos sara hidup akan berkurangan. Sebaliknya kalau lihat rasuah berleluasa maka setiap satu kerja akan jadi mahal kerana perlu bayar banyak pada pihak tertentu yang lebih berkuasa untuk meluluskan sesuatu permintaan,” katanya dalam ucapan perasmian sempena pelancaran pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 di KL Sentral di sini, hari ini.
Tun Mahathir berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini giat untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat selepas megambil alih Putrajaya sejak 9 Mei lalu.
Beliau berkata, inisiatif Kementerian Pengangkutan dalam mewujudkan sistem pas perjalanan tanpa had secara tidak langsung mampu menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam, selain membantu meringankan perbelanjaan harian mereka.
Katanya, Kuala Lumpur menjadi negeri “uji kaji” untuk melaksanakan pas tanpa had tersebut sebelum ia diperluaskan ke negeri lain.
“Kita janji dalam manifesto akan cuba sedaya upaya untuk kurangkan kos sara hidup rakyat.”
“Seperti kata (Anthony) Loke kemudahan ini akan dibawa ke tempat lain di Malaysia dan percubaan dibuat di Kuala Lumpur dulu supaya kita dapat tahu apakah kelemahan yang ada dan dapat diperbetulkan,” katanya lagi.
Pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 dilancarkan secara rasmi hari ini seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Negara 2019, awal bulan lalu.
Pas perjalanan tanpa had My100 berharga RM100 boleh digunakan selama 30 hari untuk semua perkhidmatan Rapid Rail, termasuk LRT, MRT, Monorel serta BRT Sunway dan semua perkhidmatan bas kendalian Rapid Bus di Lembah Klang.
Manakala pas perjalanan My50 berharga RM50 boleh digunakan untuk semua perkhidmatan bas kendalian Rapid Bus di Lembah Klang selama 30 hari.
Kedua-dua pas tersebut boleh digunakan secara aktif bermula Januari tahun depan.