NGO: Kelantan tak serius tangani isu kahwin bawah umur

NGO: Kelantan tak serius tangani isu kahwin bawah umur

SIS berkata demikian susulan kerajaan negeri itu menolak pindaan umur minimum pasangan beragama Islam di negeri itu iaitu 18 tahun bagi lelaki dan 16 bagi perempuan.

SIS berkata perkahwinan bawah umur bertentangan dengan prinsip maqasid syariah dan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin.
PETALING JAYA:
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) wanita menyifatkan Kelantan tidak serius dalam menangani isu kahwin bawah umur apabila menolak pindaan umur perkahwinan kanak-kanak di negeri itu.

Sisters in Islam (SIS) berkata perkahwinan kanak-kanak sememangnya satu isu kritikal yang memerlukan tindakan segera.

“Tindakan ini meletakkan wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa keadaan, sekaligus menjadikan Kelantan ketinggalan dalam mengambil langkah proaktif bagi melaksana polisi dan undang-undang yang melindungi wanita dan kanak-kanak,” kata SIS dalam satu kenyataan.

Pada Persidangan Meja Bulat Perkahwinan Bawah Umur, baru-baru ini, Kelantan menyatakan tiada keperluan meminda umur minimum pasangan beragama Islam di negeri ini iaitu 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan yang ditetapkan dalam peruntukan Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002.

Kerajaan negeri itu berkata, perkahwinan bawah umur adalah wajar dan selaras dengan hukum syarak malah menjadi satu keperluan di Kelantan.

Mengulas lanjut, SIS berkata perkahwinan bawah umur bertentangan dengan prinsip maqasid syariah dan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang mengutamakan kebajikan seluruh alam.

“Ia menjadi tanggungjawab kerajaan setempat untuk memberi keadilan dan menentukan hak kanak-kanak dari segi kesihatan, pembelajaran dan perkembangan sosial tidak terganggu oleh faktor-faktor seperti ini,” kata SIS sambil menambah Kelantan tidak mengambil iktibar daripada kes kahwin bawah umur yang berlaku di Tumpat dan Gua Musang.

Sebelum ini dilaporkan seorang lelaki berusia 41 tahun di Gua Musang mengahwini kanak-kanak 11 tahun sebagai isteri ke-3nya.

Peraih getah, Abdul Karim Che Abdul Hamid berkata dia mendapat restu dari ibu bapa kanak-kanak tersebut dan akan memohon sijil perkahwinan apabila “isterinya” mencapai umur 16 tahun, usia perkahwinan yang dibenarkan undang-undang syariah Malaysia.

Tiga bulan kemudian, masyarakat sekali lagi gembar apabila seorang gadis berusia 15 tahun di Tumpat dilaporkan berkahwin dengan lelaki hampir 3 dekad lebih tua daripadanya.

Ibu bapa gadis itu, yang mempunyai 12 anak lain, berkata mereka merestui perkahwinan anaknya dengan lelaki berusia 44 tahun itu kerana mahu anak mereka memperoleh kehidupan yang lebih baik.

Pasangan itu menguruskan kedai runcit dengan pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.