
Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) berkata, pada tahun lepas, Kuala Lumpur menarik 12.29 juta pelancong antarabangsa, jauh mengatasi kota terkenal lain seperti Rom, Tokyo, Istanbul, Seoul, Miami, Barcelona dan Shanghai.
Bagaimanapun kata presiden Matta, Tan Kok Liang, aktiviti malam untuk pelancong di Kuala Lumpur “masih mengecewakan”.
Beliau mengingatkan bahawa langkah mengehadkan masa perniagaan premis hiburan akan menyuramkan pengalaman pelawat.
Ini katanya, akan menyebabkan pelancong membuat keputusan untuk tidak kembali ke Kuala Lumpur, sekali gus memberi kesan ke atas perolehan pelancongan dan juga ekonomi.
Tan memberi respons terhadap kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad baru-baru ini, yang berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyemak semula peraturan masa perniagaan beberapa premis yang sebelum ini diberi kebenaran khas untuk menjalankan perniagaan hingga jam 5 pagi bagi memenuhi keperluan pelancong.
Khalid berkata, premis berkenaan dilaporkan menyalahgunakan kebenaran itu dengan turut membenarkan orang tempatan mengunjunginya.
Beliau juga dilaporkan berkata, premis hiburan di Kuala Lumpur perlu mematuhi peraturan penutupan yang tercatat dalam perjanjian lesen mereka bermula 1 Jan tahun depan atau berdepan tindakan. Banyak daripada premis terbabit perlu menamatkan perniagaan masing-masing pada jam 1 pagi.
Pemimpin Amanah itu berkata, langkah tersebut merupakan satu peringatan kepada warga kota supaya menghabiskan lebih banyak masa dan wang untuk keluarga mereka, bukannya di premis hiburan.
Tan berkata, langkah itu boleh menyebabkan Kuala Lumpur dilihat tidak mesra pelancong, dan akan memberi kesan ke atas jumlah kedatangan pelawat.
“Jumlah kedatangan pelancong ke negara ini merosot untuk tempoh 9 bulan pertama tahun ini,” katanya, dan menambah bahawa keadaan itu akan terus terkesan dengan pengenalan levi pelepasan lapangan terbang bermula 1 Jan depan.
Katanya, premis hiburan kebanyakannya dikunjungi oleh pelancong yang banyak berbelanja, termasuk mereka yang datang ke Kuala Lumpur untuk tujuan perniagaan, pengembaraan insentif dan persidangan.
Industri pelancongan itu sendiri menyediakan banyak peluang pekerjaan, katanya.
Penutupan premis perniagaan tepat jam 1 pagi akan mencetuskan kesan berantai terhadap industri pelancongan dan juga ekonomi negara, katanya.
Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun menyuarakan kebimbangan tentang kesan langkah tersebut, terutama di kawasan yang diwakilinya di mana premis hiburan memainkan peranan penting dalam ekonomi tempatan.
Katanya, langkah itu boleh memberi kesan buruk ke atas perniagaan lain yang memberi tumpuan kepada pelancong.
“Saya berharap kerajaan tidak akan melaksanakan peraturan pukul rata. Saya memahami tujuan mengehadkan masa perniagaan premis yang terletak berhampiran kawasan kediaman,” katanya.
Bagaimanapun premis hiburan yang terpencil atau terletak di kawasan pelancongan harus dibenarkan dibuka untuk tempoh lebih panjang, katanya.
Ketua eksekutif Institut Demokrasi dan Hal-ehwal Ekonomi, Ali Salman berkata, peraturan sedia ada mengenai masa perniagaan untuk premis hiburan hendaklah dihormati dan dikuatkuasakan.
Katanya, bentuk hiburan yang menimbulkan bahaya kepada orang lain, seperti mengganggu kawasan kejiranan hendaklah diperiksa dan dikawal.
Akan tetapi katanya, orang ramai haruslah dibenarkan membuat keputusan sama ada mahu berada di rumah atau di premis hiburan, secara bersendirian atau bersama-sama keluarga mereka.
“Bukan tugas kerajaan menjalankan pengawasan moral atau memaksakan tingkah-laku tertentu.”