
“Adakah itu ajaran Islam, untuk menyebabkan kanak-kanak mati kelaparan hanya kerana anda mahu berjuang menentukan siapa yang akan memerintah negara? Itu salah,” kata perdana menteri dalam wawancara eksklusif bersama FMT di pejabatnya baru-baru ini.
Kenyataan itu mencerminkan pendirian rasmi baru Putrajaya terhadap konflik di Yaman, yang menyaksikan negara jiran, Arab Saudi, mendorong sekutunya menyekat kemaraan pemberontak Houthi dalam perang saudara yang bermula 2015.
Jun lalu, Kabinet mengumumkan penarikan tentera Malaysia dari Riyadh, yang dipercayai berkhidmat untuk sekutu diketuai Saudi yang melakukan pengeboman di Yaman.
Pemberontak Houthi merupakan pengikut Zaidiyah, salah satu aliran dalam mazhab Syiah. Amerika Syarikat dan Saudi mendakwa masyarakat Houthi dibantu oleh Iran, tetapi dakwaan itu dinafikan Tehran.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) dikritik atas keputusannya menyertai sekutu diketuai Saudi untuk membantu kerajaan Yaman, walaupun kerajaan terdahulu berkata, ia memainkan peranan bukan ketenteraan.
Pengkritik turut memberi amaran Malaysia boleh didapati bersalah atas kematian beramai-ramai disebabkan pengeboman udara Yaman oleh sekutu diketuai Saudi.
Pertubuhan bantuan global, Save the Children baru-baru ini mendedahkan 85,000 kanak-kanak bawah usia 5 tahun mungkin mati akibat kelaparan atau penyakit sejak 2015 di negara yang dimusnahkan perang itu.
Sebahagian masalah itu disebabkan kegagalan mendapat bekalan ubat dan makanan, susulan tindakan Saudi menyekat Hodeida, pintu masuk bagi kira-kira 80% 80% makanan import dan bantuan kemanusiaan ke Yaman.
Dr Mahathir berkata, konflik itu menunjukkan bagaimana umat Islam tidak mematuhi teras ajaran Islam mengenai belas kasihan.
“Kita memulakan semua perkara dengan melafazkan ‘Bismillahirrahmanirrahim’, dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Tetapi, kita tidak berbelas kasihan.”
Tanpa menamakan pihak mana, Dr Mahathir berkata, ia adalah dosa untuk memburukkan lagi konflik di Yaman.
“Sudah tentu ini salah. Ini adalah dosa berlawanan ajaran Islam. Kita perlu menjaga rakyat.
“Walaupun anda menang, kemusnahan yang anda dapat lihat adalah maksimum.”