Apakah nasib bangunan uzur di Kuala Lumpur?

Apakah nasib bangunan uzur di Kuala Lumpur?

Di tengah-tengah kemegahan mercu tanda baru, banyak rumah kedai dan bangunan di ibu kota berada dalam keadaan uzur, tidak dijaga, malah terbiar.

(Bangunan terbiar di Jalan HS Lee) Selain menaik taraf bangunan, perlu juga dinaikkan taraf ialah sikap orang ramai supaya tidak mengotorkan, malah bersama-sama menjaga kebersihan dan menyayangi peninggalan sejarah kita.
PETALING JAYA:
Kepesatan pembangunan di sekitar Kuala Lumpur tentunya membuatkan ramai orang kagum dengan pembinaan pelbagai infrastruktur dan bangunan pencakar langit yang canggih dan sarat dengan nilai seni binanya.

Bagaimanapun, di tengah-tengah kemegahan kemodenan mercu tanda baru itu, masih banyak rumah kedai dan bangunan di ibu kota berada dalam keadaan uzur, tidak dijaga, malah terbiar sejak bertahun-tahun lamanya.

Tinjauan FMT di beberapa lokasi, termasuk bangunan di Jalan Tun H S Lee, yang jaraknya kurang dari 1 km dari pusat tumpuan pelancong dalam negara ataupun luar negara, iaitu Dataran Merdeka.

Perkara sama turut berlaku di sekitar Jalan Dang Wangi, yang menyaksikan beberapa unit bangunan perniagaan yang terbiar dan tidak terurus hingga mencacatkan pemandangan dan menjejaskan imej Kuala Lumpur sebagai ibu kota Malaysia.

Bangunan terbiar di Jalan Dang Wangi.

Menjelang malam pula, bangunan uzur ini akan menjadi tempat persinggahan gelandangan serta kutu rayau yang menjadikan bangunan terbiar sebagai tempat melepaskan lelah dan tidur.

Sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei lalu, masih tidak nampak usaha dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membaik pulih bangunan tersebut.

Mengulas isu berkenaan, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-12 berkata, pihaknya sedang meneliti perkara berkenaan.

Datu Bandar KL, Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Nor Hisham berkata, tidak dinafikan terdapat bangunan uzur di sekitar Kuala Lumpur, dan beliau, yang masih tidak sampai 100 hari lagi perkhidmatannya sedang berusaha untuk mengindahkan semula bangunan terbabit.

“Kita sekarang hendak tahu, siapakah pemilik bangunan uzur ini. Jika ada perkara yang DBKL boleh bantu, maka kita akan membantu mengindahkanya. Kita akan semak segera, sama ada bangunan ini milik persendirian atau sebaliknya,” katanya kepada FMT.

Tambah Nor Hisham, usaha menceriakan bangunan uzur ini juga akan dilakukan, antaranya dengan mengecatnya semula dan membersihkanya, bahkan ia termasuk dalam misi DBKL mengurangkan banjir kilat di Kuala Lumpur.

Nor Hisham berkata, dalam usaha menjadikan bandaraya Kuala Lumpur sebagai bandaraya bertaraf dunia pada 2020, kerjasama di antara DBKL dan pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan dalam usaha itu.

Sementara itu, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) ketika ditemui FMT berkata, DBKL perlu menaik taraf infrastruktur banguan uzur bukan sahaja untuk mencantikkannya, tetapi juga bagi mengekalkan nilai sejarahnya.

“Contohnya di Jalan Haji Taib ini, selain daripada naik taraf bangunan, perlu juga dinaikkan taraf sikap penjaja supaya tidak mengotorkan bangunan, malah bersama-sama menjaga kebersihan dan menyayangi bangunan peninggalan sejarah kita ini.

“Kita tahu bangunan ini mempunyai harga dan juga nilai sejarahnya. Seperti di Jalan Haji Taib ini, memang ada dua atau tiga bangunan lama di sini. Sayang jika tidak dijaga,” kata Yang Dipertua persatuan berkenaan, Datuk Mohd Abdullah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.