16 daripada 33 hasil pertanian catat kadar sara diri lebih 100% tahun lepas

16 daripada 33 hasil pertanian catat kadar sara diri lebih 100% tahun lepas

Komoditi pertanian terbahagi kepada 3 kategori iaitu tanaman, ternakan dan perikanan.

SSR pertanian merujuk kepada peratusan bekalan pengeluaran sesuatu hasil pertanian tempatan berbanding keperluannya di pasaran domestik. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kajian Jabatan Perangkaan menunjukkan 16 daripada 33 komoditi pertanian terpilih merekodkan kadar sara diri (SSR) melebihi 100% pada 2017.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, komoditi pertanian terbahagi kepada 3 kategori iaitu tanaman, ternakan dan perikanan.

Bagi kategori buah-buahan, Mohd Uzir, dalam kenyataannya hari ini berkata, 7 daripada 13 buah-buahan mencatatkan kadar SSR melebihi 100% dengan tembikai merekodkan SSR tertinggi iaitu 151.1%, diikuti betik (143.6%) dan belimbing (136.6%).

SSR hasil pertanian merujuk kepada peratusan bekalan pengeluaran sesuatu hasil pertanian tempatan berbanding keperluannya di pasaran domestik.

Angka itu menunjukkn bekalan domestik yang dapat dihasilkan melalui pengeluaran dalam negara.

SSR kurang daripada 100%, menujukkan pengeluaran dalam negara tidak dapat memenuhi keperluan penggunaan domestik, sementara SSR lebih 100% menandakan sebaliknya.

Dalam pada itu katanya, penggunaan per kapita (PCC) – yang mengukur penggunaan sesuatu hasil pertanian berbanding jumlah rakyat – bagi kelapa adalah tertinggi, iaitu pada kadar (19.4 kg/tahun), diikuti pisang (10.0 kg/setahun), nanas (7.6 kg/tahun) dan durian (6.4 kg/tahun).

Beliau berkata, bagi sayur-sayuran, 6 daripadanya merekodkan SSR melebihi 100% iaitu bayam, bendi, kacang panjang, terung, timun dan tomato.

“PCC bagi kobis bulat adalah tertinggi (5.4 kg/tahun) diikuti sawi (4.4 kg/tahun), tomato (3.9 kg/tahun) dan timun (2.3 kg/tahun),” katanya seperti dilaporkan agensi berita, Bernama.

SSR bagi ternakan pula adalah 113.7% bagi telur ayam/itik sebagai yang tertinggi, diikuti daging ayam/itik (98.2%) dan daging babi (92.1%) manakala daging kambing/bebiri merekodkan SSR terendah, iaitu 10.7%.

“Daging ayam/itik merekodkan PCC tertinggi iaitu 52.0 kilogram setahun diikuti telur ayam/itik (22.2 kg/tahun) dan daging babi (16.3 kg/tahun),” katanya.

Beliau berkata, bagi segmen perikanan, sotong merekodkan SSR tertinggi iaitu 104.8%, manakala kembung adalah terendah (82.9%).

Bagaimanapun, PCC bagi kembung (5.2 kg/tahun) adalah tertinggi antara perikanan lain, diikuti udang (3.9 kg/tahun) dan tuna (2.5 kg/tahun) manakala ketam merekodkan PCC terendah, iaitu 0.4 kilogram setahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.