Rakyat Selangor kena bayar air RM3.15 jika kerajaan negeri tak bertukar, kata MB

Rakyat Selangor kena bayar air RM3.15 jika kerajaan negeri tak bertukar, kata MB

Sehingga kini kerajaan Selangor masih mengekalkan tarif air pada 2006 iaitu pada kadar RM1.39 bagi 1 meter padu.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
SHAH ALAM:
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata tarif air yang akan dinikmati rakyat hari ini adalah pada kadar RM3.15 sekiranya tidak berlaku pertukaran kerajaan negeri pada 2008.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan negeri masih mengekalkan tarif air pada 2006 iaitu pada kadar RM1.70 bagi 1 meter padu.

“InsyaAllah, kalau ada kenaikan tarif, kenaikan itu tak akan cecah angka yang sebesar RM3.15.

“Namun begitu kita akan pastikan kelangsungan air Selangor, pengurusan Air Selangor boleh kekal menyalurkan air yang bersih, dapat menampung dan membiayai rakyat khususnya mereka yang susah,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2019 di DUN Selangor hari ini.

Pertukaran kerajaan negeri berlaku selepas Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor dari Barisan Nasional selepas menang pada pilihan raya umum 2008.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan tarif air baharu kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Najib berkata kenaikan tarif air akan berlaku selepas kerajaan Selangor membeli Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash Holdings) dengan harga 10 ganda lebih tinggi dari harga tawaran asal.

Mengulas lanjut, Amirudin dalam sidang medianya berkata jika berlaku kenaikan pada harga RM3.15, ia disebabkan terdapat perjanjian konsesi sebelum ini membabitkan kerajaan negeri, Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Puncak Niaga Sdn Bhd.

Ketika ditanya adakah akan ada kenaikan tarif air dan bila kenaikan tersebut, beliau berkata: “Saya bergantung dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk bagi ‘cue’ bila nak naik,” katanya.

Mengulas mengenai kenaikan tersebut, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar menyatakan pihaknya akan berbincang dengan semua “stake holder” berhubung kenaikan tersebut.

“Kita akan bagi tahu anda secepat yang mungkin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.