
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, petunjuk keyakinan bagi sektor perkhidmatan meningkat kepada +18.8% pada suku tahun keempat 2018 daripada +16.5% pada suku tahun lepas.
“Petunjuk keyakinan bagi sektor perdagangan borong dan runcit juga mengukuh kepada +13.2% daripada +3.6%,” katanya dalam satu kenyataan susulan penerbitan Statistik Kencederungan Perniagaan bagi Suku Tahun Keempat 2018 oleh Jabatan Perangkaan, hari ini.
Sementara itu, petunjuk keyakinan bagi sektor pembinaan terus menurun kepada -21.5% pada suku tahun keempat 2018 berbanding -7.7% pada suku tahun sebelumnya.
“Sejumlah 42.6% responden bagi semua sektor yang diliputi menjangkakan hasil kasar mereka meningkat, manakala 14.8% responden menjangkakan penurunan dalam hasil kasar,” kata Mohd Uzir.
Dalam masa yang sama, Jabatan Perangkaan turut melaporkan bahawa prestasi perniagaan mengukuh pada suku tahun ketiga 2018 dengan imbangan bersih keseluruhan +4.1%.
Sektor perdagangan borong dan runcit (+14.2%) adalah penyumbang utama kepada peningkatan ini.
“Peniaga menjangkakan prestasi perniagaan yang lebih menggalakkan bagi tempoh Oktober 2018 hingga Mac 2019 dengan imbangan bersih +12.3%. Ini disokong terutamanya oleh sektor perdagangan borong dan runcit (+23.1%),” kata jabatan itu.