
Timbalan presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Edward Dagul menyifatkan kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebagai tidak bertanggungjawab, atau lebih buruk, menunjukkan kejahilan beliau tentang realiti sebenar.

“Walau apapun kemungkinannya, ia sekali lagi menunjukkan pmimpin Malaysia cenderung untuk membuka mulut mereka sebelum kajian sebenar dijalankan.
“Jika kerajaan tidak mempunyai cukup wang untuk membayar balik negeri Sabah wang yang dikutip oleh kerajaan Persekutuan selama lebih 50 tahun, maka janganlah bertindak seolah-olah semuanya berjalan baik,” katanya.
Ketika menjawab pertanyaan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) di Parlimen, Maszlee berkata, kerajaan sentiasa memastikan peruntukan untuk infrastruktur dan kemudahan pendidikan kepada pelajar di sekolah kerajaan adalah mencukupi, termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Katanya, beliau sedar tentang kebimbangan rakyat berhubung inisiatif tersebut, tetapi menjelaskan bahawa kanak-kanak tanpa kerakyatan itu mungkin tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tetapi mereka merupakan anak rakyat Malaysia atau paling tidak, seorang daripada ibu-bapa mereka rakyat negara ini.
Dagul, yang merupakan setiausaha agung Gabungan Sabah berkata, hanya baru-baru ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan persekutuan tidak mempunyai cukup wang untuk mengembalikan hasil Sabah sebanyak 40% kepada negeri itu seperti diperuntukkan di dalam perlembagaan Persekutuan.
Dagul berkata, kerajaan Persekutuan mengabaikan tanggungjawabnya dalam menyediakan kemudahan pendidikan yang mencukupi kepada Sabah.
Katanya, perkara ini disebut oleh Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah, Dr Yusoff Yacob baru-baru ini bahawa lebih 50% sekolah di negeri ini berada dalam keadaan daif dan memerlukan pembaikan segera.
“Jika infrastruktur asas sekolah di Sabah, seperti bangunan dan bilik darjah pun tidak terjaga, bagaimana pula keadaannya dengan penempatan pelajar bukan warganegara yang tentunya lebih mahal?
“Adakah kita harus percaya bahawa pertambahan jumlah pelajar ini tidak akan memberi kesan ke atas kesejahteraan dan pembelajaran kanak-kanak rakyat Sabah”, soal Dagul.
Justeru katanya, kerajaan persekutuan perlu terlebih dahulu menangani masalah infrastruktur dan keperluan sumber manusia sekolah, seperti tenaga guru yang lebih ramai, katanya.
“Hanya selepas itu kita boleh membincangkan pertimbangan kemanusiaan seperti isu persekolahan kanak-kanak tanpa kerakyatan,” kata beliau, dan menambah rakyat Sabah hendaklah diberikan keutamaan.

Presiden Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) Henrynus Amin menifatkan dasar yang diumumkan Maszlee itu sebagai kontroversi walaupun parti tersebut tidak terlalu membantah inisiatif berkenaan.
“Anak Negeri tidak membantah selagi pelajar tersebut didaftarkan dengan sah dan mereka pula berkelayakan.
“Kami akui keperluan menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan yang beribubapakan rakyat Malaysia yang berkahwin dengan orang asing, dan diberikan dokumen perlu serta akses kepada pendidikan supaya mereka menjadi aset masyarakat, bukan liabiliti.
“Bagaimanapun secara prinsip, Anak Negeri sangat tidak selesa dengan langkah menempatkan kanak-kanak tanpa kerakyatan, yang kedua-dua ibu-bapa mereka orang asing, di sekolah kerajaan.”
“Kementerian Pendidikan tidak harus terburu-buru melaksanakan dasar itu tanpa terlebih dahulu menetapkan kriteria kelayakan yang sah dan jumlah sebenar kanak-kanak tanpa kerakyatan yang layak mendapat keistimewaan ini.”
Amin berkata, di tempat-tempat seperti Kinabatangan, 70% daripada pendudukya terdiri daripada orang asing. Dalam keadaan itu, tentulah kanak-kanak tanpa kerakyatan dengan ibu-bapa orang asing akan mendominasi sekolah di sana.
Beliau juga menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya menangani kebimbangan lebih besar tentang kewujudan populasi pendatang yang besar di Sabah serta pengeluaran kad pengeluaran kepada orang asing tanpa mengikut saluran sah.