
Bagaimanapun, seorang anggota bomba yang dikerah ke lokasi untuk memadam kebakaran kenderaan yang dibakar berhampiran kuil itu telah diserang segerombolan perusuh dan dilaporkan mengalami kecederaan yang mengancam nyawa. Muhammad Adib Mohd Kassim telah dimasukkan ke hospital dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Kita doakan beliau akan sembuh sepenuhnya.
Betapa pentingnya rakyat Malaysia untuk sama-sama sebulat suara memastikan kekecohan kuil tidak dikaitkan dengan isu-isu agama atau etnik, walaupun ia telah menimbulkan ketidakselesaan dalam masyarakat.
Jelas sekali penempatan semula kuil merupakan isu yang telah mendatangkan keperitan, sekaligus menjadi penyebab tercetusnya ketidaktenteraman ini. Penyelesaian yang baik, iaitu dengan menghormati integriti rumah ibadat harus dicapai melalui perbincangan dan perundingan secepat mungkin.
Tindakan segera dan pantas oleh pihak berkuasa adalah melakukan siasatan menyeluruh terhadap insiden pada 26 November lalu. Pihak berkuasa bukan sahaja harus menghukum pelakunya, tetapi juga mengenal pasti siapa dalang utama di sebaliknya.
Pencetus kekecohan ini perlu ditangani sewajarnya mengikut undang-undang. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberikan jaminan ini kepada rakyat Malaysia.
Peristiwa kekecohan kuil ini juga telah mendedahkan kecenderungan tertentu dalam masyarakat Malaysia yang telahpun wujud beberapa kali sebelum ini. Tiap kali isu berbaur etnik atau agama tercetus, media sosial sering memberi tafsiran berat sebelah atau berunsur bias dan prasangka.
Wacana media sosial seperti ini akan memburukkan lagi hubungan etnik. Ia mewujudkan perbalahan antara dua pihak. Ia membawa kepada peningkatan rasa tidak percaya dalam kalangan masyarakat.
Malaysia bukanlah satu-satunya negara di dunia ini yang mengalami hal ini. Perbalahan etnik atau perkauman telah menjadi lebih ketara di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan India, sebahagiannya kerana peranan negatif yang dimainkan media sosial.
Melalui interaksi dengan kumpulan dalam masyarakat lain, kita seharusnya dapat membangunkan pemahaman lebih baik mengenai fenomena ini yang juga satu cabaran baru dihadapi masyarakat berbilang agama dan etnik pada abad ke-21.
Chandra Muzaffar ialah pengerusi Yayasan Perpaduan Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.