Dewan Rakyat tolak usul bincang isu kuil Seafield

Dewan Rakyat tolak usul bincang isu kuil Seafield

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata, usul tersebut telah ditolak Speaker Dewan rakyat, Mohamad Ariff, pagi tadi.

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Arif.
KUALA LUMPUR:
Hasrat kedua-dua kerajaan dan pembangkang untuk membawa isu kuil Sri Maha Mariamman USJ25 ke dalam perbincangan Dewan Rakyat tidak berjaya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata, usul tersebut ditolak Speaker dewan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, pagi tadi.

Katanya, usul yang dikemukan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) pada Selasa lalu, ditolak memandangkan insiden membabitkan rusuhan dan pertikaian tanah kuil itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Tuan Speaker telah menolak usul tergempar 18 (1) yang saya sebutkan pada 27 Nov lalu. Usul tersebut ditolak dalam kamar atas nasihat Datuk Mohamad Arif.

“Beliau memaklumkan, memandangkan siasatan berkenaan dengan isu kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, USJ sedang berlangsung seperti kenyataan perdana menteri serta menteri dalam negeri, maka itulah antara sebab usul ini telah ditolak,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun menerima keputusan itu dengan terbuka dan berharap siasatan yang kini dijalankan pihak berkuasa dapat dilakukan dengan baik.

Terdahulu pada 27 Nov lalu Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sepakat menghantar usul meminta Mohamad Ariff menangguhkan perbahasan untuk membincangkan isu kuil Sri Maha Mariamman yang menjadi fokus dalam keganasan ketika ini

Fahmi yang mewakili kumpulan kerajaan ketika itu berkata kedua-dua belah pihak mahu membahaskan isu kuil itu yang kini dianggap berkepentingan awam.

“Kami berkumpul sebagai tanda solidariti tanpa kepartian untuk menunjukkan semua Ahli Parlimen menanggap perkara ini perlu diberi penekanan khusus, dan perlu kita rungkai secara bersama,” katanya pada Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Isnin, puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil sebelum tercetus pergaduhan antara 2 kumpulan sehingga dilaporkan 18 kenderaan dibakar dan beberapa motosikal dibakar.

Ekoran kejadian itu, polis dilaporkan menahan 17 individu bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut.

Pada hari berikutnya, satu himpunan besar diadakan di hadapan kuil berkenaan dan sebahagian daripada orang ramai yang berkumpul bergerak ke Menara MCT yang menempatkan pejabat pemaju One City Development Sdn Bhd (One City), kira-kira 1km dari kuil itu, sebelum bertindak merosakkan harta benda, termasuk memecahkan cermin bangunan dan kenderaan.

Penjawat awam juga dilapor dipukul peserta himpunan, dengan seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah dan mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi Institut Jantung Negara.

Sehingga kini 30 individu ditahan polis untuk siasatan berhubungan insiden terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.