DBKL perlu bayar pampasan RM500 juta jika batal projek Taman Rimba Kiara, kata Khalid

DBKL perlu bayar pampasan RM500 juta jika batal projek Taman Rimba Kiara, kata Khalid

Jumlah itu terpaksa ditanggung selepas mengambil kira kos yang sudah dikeluarkan pemaju serta tuntutan kerugian lain.

Khalid turut memberi amaran semua projek pembangunan boleh dibatalkan tanpa sebarang pampasan jika wujud unsur rasuah atau penyelewengan dalam projek terbabit.
KUALA LUMPUR:
Menteri Wilayah Persekutuan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membayar pampasan sehingga RM500 juta jika projek pembangunan di Taman Rimba Kiara dibatalkan segera.

Khalid Samad berkata, jumlah itu terpaksa ditanggung selepas mengambil kira kos yang sudah dikeluarkan pemaju serta tuntutan kerugian lain.

“Jumlah yang sudah dibelanjakan pemaju, iaitu Malton Bhd, adalah RM155 juta seperti didakwanya, selain tambahan sekitar RM300 juta jika mereka tuntut pampasan kerugian daripada keuntungan, sebagai contoh 3% daripada nilai pembangunan kasar projek kira-kira RM3 bilion.

“Ditambah pula, saya kena bina rumah untuk penduduk rumah panjang dengan duit DBKL antara RM15 juta hingga RM25 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sehingga RM500 juta.

“Kalau boleh, saya nak pilihan lain, seperti kita capai persetujuan, runding bersama. Pemaju mungkin dapat projek, tapi mereka bayar balik harga yang sepatutnya, atau kurangkan plot ratio atau saiz projek,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Khalid dalam pada itu memberi amaran semua projek pembangunan di kawasan itu boleh dibatalkan tanpa sebarang pampasan jika didapati wujud unsur rasuah atau penyelewengan dalam projek terbabit.

Katanya, projek pembinaan pangsapuri di atas sebahagian Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) juga tidak sah sekiranya didapati ada unsur salah guna kuasa, rasuah atau penyelewengan.

“Jika projek ini menjadi tidak sah kerana wujud elemen pelanggaran undang-undang yang dibuktikan, maka pemaju tak boleh tuntut apa-apa pampasan.

“Bagaimanapun, itu sesuatu yang tidak boleh saya buktikan seorang diri kerana itu berada di bawah kuasa SPRM,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, mahkamah semalam menolak semakan kehakiman yang difailkan Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail berhubung kebenaran merancang yang telah diberikan kepada pemaju untuk membina 8 blok kondominium di Taman Rimba Kiara.

Katanya mahkamah memutuskan kebenaran merancang pembangunan (DO) yang diberikan pada projek itu adalah sah.

“Penduduk TTDI akan berbincang sama ada mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu,” katanya.

Projek pembangunan di atas tanah milik Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) itu mencetuskan kontroversi kerana ia bercanggah dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, selain meningkatkan kepadatan penduduk di kawasan berkenaan daripada 74 orang kepada 979 orang bagi setiap 0.4 hektar.

Pada 2014, YWP, yang ketika itu berada di bawah pengawasan kerajaan Barisan Nasional, mengadakan satu usaha sama dengan Memang Perkasa Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Malton Bhd, untuk memajukan satu projek mega di atas lot seluas 12 ekar daripada 25 ekar tanah Taman Rimba Kiara.

Projek mega ini melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan 8 blok kondominium mewah 50 tingkat (1,800 unit) dengan nilai pembangunan kasar sekurang-kurangya RM3 bilion.

Pada 13 Julai 2017, DBKL mengeluarkan perintah pembangunan untuk projek ini walaupun dibantah oleh penduduk TTDI.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.