
Setiausaha Agung PKR itu berkata, tindakan PKR Johor yang secara terbuka menyuarakan pendirian tidak setuju dengan kemasukan pemimpin Umno dalam PH khususnya PPBM, sebagai lumrah biasa.
“Apabila ketetapan dibuat, maka reaksi orang berbeza-beza, ada setuju dan ada nyatakan tidak setuju, macam Johor nyatakan secara terbuka mereka tidak setuju. Itu lumrah,” katanya dalam sidang media di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, hari ini.
Terdahulu, PKR Johor menyifatkan tindakan PPBM menerima keahlian 3 bekas pemimpin Umno Johor sebagai khianat terhadap mandat dan hasrat rakyat yang menginginkan perubahan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Hassan Karim, berkata tindakan PPBM menerima Adun bebas yang sebelum ini daripada Umno, Rasman lthnain dari Sedili, Alwiyah Talib (Endau) dan Rosleli Jahari (Johor Lama), menyertai PH adalah sangat dikesali.
Saifuddin bagaimanapun berkata, antara panduan yang mesti diikuti mana-mana pemimpin parti termasuk Umno yang hendak menyertai PH adalah harus mengumumkan keluar dari Umno secara terbuka.
“Mesti umum secara terbuka. Selepas itu, ada tempoh ‘edah’nya, kalau hendak masuk mana-mana parti maka tidak jadi isu. Itu panduan yang dipersetujui dalam PH,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Bagan Serai, Noor Azmi Ghazali yang mengisytiharkan dirinya keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas pada Jun lalu, bersama-sama dengan 4 senator parti itu menyertai PPBM.
Perkara itu diumumkan semasa sidang akhbar yang dihadiri Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat majlis tertinggi parti itu di Petaling Jaya.
Empat senator tersebut ialah Khairudin ES Abdul Samad, Aknan Ehtook, Suhaimi Abdullah dan Isa Abdul Hamid.
Oktober lalu, bekas ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed turut menyertai PPBM.
Selain Mustapa dan Noor Azmi, antara ahli Parlimen yang keluar Umno selepas pilihan raya umum ke-14 ialah Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Rozman Isli (Labuan) dan Seri Anifah Aman (Kimanis). Rozman menyertai Parti Warisan Sabah, manakala yang lain belum menyertai mana-mana parti.