Sentuh isu sensitif: 4 daripada 9 individu diambil keterangan

Sentuh isu sensitif: 4 daripada 9 individu diambil keterangan

Mereka dipanggil bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes yang disiasat menimbulkan isu sensitif membabitkan agama serta kaum.

Fuzi Harun (kanan) bersama Timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengadakan sidang media selepas melancarkan buku panduan dan siasatan melibatkan agen kimia di Maktab PDRM, hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara mengesahkan 4 daripada 9 individu sudah dipanggil memberi keterangan kerana menyentuh sensitiviti yang mencetuskan ketegangan di negara ini.

Tan Sri Mohamad Fuzi bagaimanapun gagal menjelaskan siapa 4 individu yang sudah dipanggil itu.

“Baru 4 daripada 9 orang. Saya bagaimanapun tidak ingat siapakah 4 orang berkenaan. Empat daripadanya kita sudah panggil memberikan keterangan,” katanya dalam sidang media di Maktab PDRM, hari ini.

Semua 9 individu itu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes yang disiasat mengikut Seksyen 504, 505 dan 506 Kanun Keseksaan berikutan menimbulkan isu sensitif membabitkan agama serta kaum.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata polis akan memanggil bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Noor Rashid turut menyatakan akan memanggil Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah; Pengerusi Gabungan 3, Ragvinder Singh serta Timbalannya, Amran Ahmad Nor; Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong dan Adun Tras, Chow Yu Hui.

Selain itu, polis juga akan memanggil 2 lagi individu iaitu “blogger” Lau Shan Thean dan Muhammad Edi Mohamad Riyars atau “Edi Rejang”.

“Keterangan mereka diperlukan kerana hasil analisis polis mendapati selain nama mereka disebut dalam beberapa laporan diterima polis, ia juga kerana mereka mempunyai maklumat yang diperlukan,” kata Noor Rashid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.