Selangor tak beri kuota Adun miliki Rumah Selangorku

Selangor tak beri kuota Adun miliki Rumah Selangorku

Exco Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar berkata cara pemilikan Rumah Selangorku dijalankan secara merit tanpa kroni.

Pemilikan Rumah Selangorku diberi secara merit.
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor tidak pernah memberikan kuota kepada Adun negeri itu untuk memiliki rumah mampu milik, Rumah Selangorku.

Exco Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha sebaliknya berkata cara pemilikan Rumah Selangorku dijalankan secara merit.

“Tak ada campur tangan manusia untuk memberi kepada pihak kroni dan sebagainya, semua mendapat layanan yang sama,” katanya ketika berucap di DUN Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohd Shaid Rosli (PH-Jeram) yang bertanya adakah permohonan Rumah Selangorku yang dibuat menerusi atas talian diberi kelonggaran kepada Adun tempatan dan masyarakat kawasan tersebut.

Haniza yang juga Adun Lembah Jaya menjelaskan merit yang lebih tinggi akan diberi kepada sesetengah golongan bagi mendapatkan Rumah Selangorku.

“Merit lebih tinggi sekiranya mereka Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, ataupun pendapatan tanggungan ramai,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dilaporkan berkata, antara 2014 sehingga September tahun ini, sejumlah 204 projek rumah mampu milik membabitkan pembinaan sebanyak 104,460 unit kediaman sudah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Sejumlah 6,303 unit sudah disiapkan dan diserahkan kepada pembeli manakala sebanyak 22,336 lagi dalam proses pembinaan dan pemiliknya boleh berpindah masuk secara berperingkat-peringkat mulai tahun ini sehingga 2022.

Amirudin berkata, bagi fasa seterusnya, kerajaan negeri sudah meletakkan sasaran pembinaan sebanyak 30,000 kediaman Rumah Selangorku dari sekarang hingga 2023 dan beliau akan mengawasi perkembangannya bagi memastikan ia dapat dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.