PAS sokong usul tergempar bincang rusuhan di Subang Jaya

PAS sokong usul tergempar bincang rusuhan di Subang Jaya

Timbalan presiden PAS berkata, soal keharmonian kaum tidak patut dipolemikkan kerana ia umpama bom jangka yang perlu diuruskan dengan cermat.

Tuan Ibrahim Tuan Man berharap pihak tidak berkepentingan tidak mencampur tangan dalam isu Kuil Sri Maha Mariamman bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk.
KUALA LUMPUR:
PAS menyokong usul tergempar yang dibentangkan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat semalam, bagi membincangkan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimana berkata, rusuhan itu tidak sepatutnya dipolemikkan.

“PAS sokong usul tergempar itu, kita sokong soal keharmonian kaum yang tidak perlu dipolemik.

“Negara kita warisi apa yang penjajah tinggalkan, ada beberapa bom jangka yang kalau tidak diurus dengan cermat, akan jadi polemik,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, wakil rakyat kerajaan dan pembangkang menghantar usul meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menangguhkan perbahasan untuk membincangkan rusuhan di kuil itu, awal pagi semalam.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang mewakili wakil rakyat kerajaan berkata, kedua-dua pihak mahu membahaskan isu itu yang kini dianggap berkepentingan awam dan speaker akan memutuskan sama ada menerima atau menolak usul itu, esok.

Tuan Ibrahim berkata, isu membabitkan kaum dan agama sesuai dibincangkan di Dewan Rakyat, tetapi ia perlu dilakukan secara berhati-hati.

“Saya harapkan isu kuil, pihak yang tidak ada kepentingan tidak payah campur tangan, ia boleh mengeruhkan keadaan.”

Semalam, polis dilaporkan berkata, 21 orang ditahan dan 23 kenderaan dibakar dalam kekecohan di luar Kuil Sri Maha Mariamman sejak awal pagi Isnin lalu.

Seorang anggota bomba turut cedera parah diserang penunjuk perasaan dalam kekecohan itu, awal pagi semalam, manakala sebuah jentera bomba dan pejabat pemaju, One City yang terletak kira-kira 500m dari kuil itu turut dirosakkan.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, rusuhan itu ialah perbuatan jenayah yang tiada kaitan dengan isu perkauman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.