
Kompas memetik Duta Besar Indonesia ke Arab Saudi, Agus Maftuh Abegebriel sebagai berkata pampasan itu belum dibayar kerana masih ada negara yang belum menyelesaikan urusan dokumentasi warga masing-masing yang terlibat dalam insiden itu.
“Ada beberapa negara yang masih belum selesai sehingga kita masih menjadi mangsa ketidakselesaian negara lain,” katanya.
Katanya, proses dokumentasi Indonesia sudah diselesaikan dan pihaknya juga menghubungi waris 10 mangsa yang menjadi korban dalam tragedi pada 11 September 2015 itu.
Agus menambah, mangsa dari Indonesia tidak boleh diberi pengecualian didahulukan pampasan kerana kerajaan Saudi memiliki sistem dan peraturan dalam pemberian pampasan.
Tragedi kren tumbang berhampiran Masjidil Haram berlaku ketika umat Islam mengerjakan haji yang mengorbankan 111 orang dan lebih 300 lagi cedera.
Ia turut mengorbankan 7 jemaah Malaysia.
Susulan itu, Raja Arab Saudi Salman bin Abdul Aziz mengumumkan pampasan besar-besaran kepada keluarga mangsa yang melibatkan rakyat 12 negara.
Media Saudi melaporkan 1 juta riyal (RM1.17 juta) akan dibayar kepada keluarga mangsa yang terbunuh, manakala 500,000 riyal (RM587,574) akan dibayar kepada setiap mangsa yang cedera.