Henti anggap keganasan sebagai ‘taboo’, kata pakar

Henti anggap keganasan sebagai ‘taboo’, kata pakar

Pakar deradikalisasi berkata filem tentang terorisme perlu diungkapkan dengan acuan kita sendiri, bukan Hollywood semata-mata.

Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata cara menentang aktiviti keganasan adalah mengetepikan konsep ‘rahsia dalam rahsia’. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Sudah tiba masanya rakyat Malaysia didedahkan dengan filem mengenai bahaya aktiviti keganasan, kata pakar anti keganasan.

Pakar deradikalisasi di Kementerian Dalam Negeri, Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, kerajaan perlu menjelaskan kepada masyarakat mengenai bahaya aktiviti pelampau dan tidak menganggapnya sebagai “taboo”.

“Isu keganasan ini perlu dijelaskan kepada masyarakat umum, ia tidak seharusnya dianggap sesuatu yang ‘taboo’ untuk dibincangkan atau diketahui umum.

“Sudah sampai masanya filem tentang terorisme ini diungkapkan dengan acuan kita sendiri, bukan Hollywood semata-mata,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, penerbit filem perlu menyemai nilai-nilai murni dan pengajaran berkaitan terorisme ini secara bijak melalui medium seni.

Mizan yang juga pensyarah dari Universiti Malaysia Perlis (UniMap) berkata, filem “Polis Evo 2” antara contoh bagaimana aktiviti keganasan dapat diterjemah melalui layar seni.

Katanya, apa yang digambarkan dalam filem itu memang pernah berlaku di mana wujudnya kumpulan pelampau menggunakan kedudukan agama dalam menyampaikan fahaman ekstrem.

“Individu mahupun kumpulan tertentu boleh dipengaruhi dengan ajaran yang ekstrem. Ada faktor ‘pulling and pushing’ yang menyumbang kepada perlakuan seperti ini.

“Tragedi Al-Maunah di Kampung Sauk dan tragedi Memali adalah bukti bagaimana sekumpulan penduduk yang dipengaruhi oleh sentimen ekstrem oleh ustaz yang radikal.

“Contoh lainnya adalah ajaran kumpulan tentera Sabilullah 1967 dan kumpulan Crypto 1977. Malah kumpulan Jundullah 1987 dan ajaran Ayah Pin serta Millah Abraham juga adalah bukti bagaimana sekelompok penduduk kampung yang terpengaruh dengan ajaran yang ekstrem dan akhirnya membuat tindakan yang ganas untuk mempertahankan kumpulan mahupun ideologi mereka,” katanya.

Al-Maunah merupakan penganas yang terkenal dengan keberanian melakukan pencerobohan ke atas kem tentera askar pada Julai 2000 dan melarikan sejumlah senjata sebelum membina pengkalan di kampung Sauk Perak sebelum bertempur dengan tentera Malaysia.

Peristiwa Memali 1995 tercetus apabila berlaku pertemputan antara penduduk dengan pihak polis susulan penahanan yang ingin dibuat ke atas Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya mengakibatkan 14 terbunuh.

Ajaran Ayah Pin pula merujuk kepada seorang pengamal ajaran sesat oleh individu bernama Ariffin Mohamad yang menubuhkan kerajaan langit, seterusnya diharamkan pihak berkuasa agama.

Manakala, Millah Abraham merupakan komuniti ajaran sesat berasal dari Indonesia yang didakwa mencampur adukkan ajaran agama Islam, Kristian dan Yahudi untuk disebarkan di Malaysia.

Filem “Polis Evo 2” yang mula ditayang pada 20 November lalu mencetuskan kontroversi kononnya menghina Islam.

Kontroversi itu bagaimanapun ia dijernihkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad apabila menyifatkan filem itu tidak mengandungi sebarang mesej menghina Islam.

Katanya, filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew itu lebih mengenengahkan fahaman fanatik sesat yang “memberi ancaman kepada negara”.

Mengulas lanjut, Mizan berkata antara faktor lain yang menjadi penyebab berlakunya ajaran sesat kerana mereka mahu memilih jalan pintas ke syurga dan akhirnya berdepan risiko menjadi agenda kumpulan tertentu.

“’Pulling factor’ berlakunya keganasan seperti mahu mencari Islam sebenar, memilih ‘shortcut’ ke syurga dan ceteknya pemahaman Islam boleh menjadikan mereka ini mangsa agenda besar kumpulan atau individu tertentu,” katanya.

Katanya, antara langkah yang perlu diambil dalam menentang aktiviti keganasan adalah mengetepikan konsep “rahsia dalam rahsia”.

“Islam yang datang kepada mana-mana individu atau kelompok jika disebarkan secara tersembunyi, pasti ada yang tidak kena. Selalunya tak betul.

“Mesti peka dengan perkembangan sekeliling, banyak keadaan sel terroris wujud dalam masyarakat tanpa disedari kerana budaya ‘tak mahu jaga tepi kain’, tapi akhirnya merosakkan semua orang dan seluruh sistem yang ada.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.