Walau sering dikritik, PM puji pendidikan negara

Walau sering dikritik, PM puji pendidikan negara

Dr Mahathir berkata pencapaian ahli akademi tempatan membantu meletakkan pendidikan negara ke peringkat antarabangsa.

PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memuji pendidikan tinggi negara dan ahli akademi tempatan, meskipun dilihat sering menjadi sasaran kritikan.

Beliau berkata pencapaian ahli akademi tempatan sememangnya membantu meletakkan pendidikan negara ke peringkat antarabangsa.

Dr Mahathir menambah ahli akademi penting dalam melahirkan graduan yang mampu menghadapi cabaran masa depan.

“Bukan hanya menguasai ilmu tetapi juga turut memiliki nilai dan kebijaksanaan dalam berhadapan dengan cabaran kehidupan,” katanya ketika merasmikan majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) kali ke-12 di Hotel Marriot, Putrajaya hari ini.

Turut sama hadir, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali dan Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Sementara itu, Maszlee berkata pihaknya komited memastikan elemen kegembiraan, kasih sayang dan hormat-menghormati sebagai asas dalam ekosistem pendidikan negara.

“Ia bagi memastikan semua pihak tidak merasakan pendidikan itu sesuatu yang menekan dan membebankan,” jelasnya.

Katanya, elemen-elemen tersebut akan diperkembangkan ke peringkat pendidikan tinggi dengan inisiatif yang bersesuaian.

“Kementerian juga ingin pastikan bahawa kerjaya sebagai ahli akademi menjadi satu perkara yamg sangat menyeronokkan dan tidak beri tekanan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.