Padam nama Jho Low, bekas pengerusi PAC ‘tak tahu menahu’

Padam nama Jho Low, bekas pengerusi PAC ‘tak tahu menahu’

Hasan Ariffin berkata PAC ketika itu menerima laporan Jabatan Audit Negara ke atas 1MDB tanpa sebarang pertikaian.

KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Ariffin tidak tahu menahu tentang pindaan-pindaan ke atas laporan Jabatan Audit Negara ke atas 1MDB yang didakwa sesetengah pihak.

Hasan berkata PAC, yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat kerajaan dan pembangkang, menerima laporan tersebut tanpa sebarang pertikaian.

“Kita tidak tahu menahu tentang itu. Semasa itu kita anggap itulah laporannya,” katanya.

Laporan Jabatan Audit Negara (JAN) ke atas 1MDB menjadi perhatian apabila Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh, yang juga timbalan pengerusi PAC, mendakwa “laporan asal” ketua audit negara dipinda atas arahan pihak tertentu.

Ketua audit negara ketika itu, Tan Sri Ambrin Buang menafikan dakwaan itu.

Pada Ahad, Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad mendakwa bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri mengarahkan JAN membuang maklumat kehadiran ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB daripada laporannya.

Akibat itu, kata beliau, pembentangan laporan audit kepada PAC yang dijadualkan pada 24 Februari 2016 terpaksa ditangguhkan kepada 4 dan 7 Mac 2016.

Laporan JAN itu dirujuk PAC dalam siasatannya ke atas 1MDB, yang membentangkan laporannya kepada Parlimen pada 7 April 2016.

Pemeriksaan bagaimanapun mendapati Kementerian Kewangan memaklumkan kehadiran Low itu dari 2015 lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.