
Nga berkata, ia berdasarkan pendedahan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi yang mendakwa ada pemimpin Umno Perak mempelawanya meninggalkan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan baharu dan menawarkan jawatan menteri besar Perak kepadanya.
“Bekas menteri besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam satu sidang media semalam mendakwa usaha (menjatuhkan kerajaan negeri) itu memang berlaku.
“Maka, saya sahkan ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri Perak,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 124 (B) Kanun Keseksaan kerana menghasut, selain cuba menggulingkan kerajaan tanpa mengikut sistem demokrasi dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen. `
Nga berkata, Ketua Sekretariat PH Perak, V Sivakumar akan membuat laporan polis terhadap Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Zambry dalam masa terdekat.
Semalam, Asmuni dalam kenyataan yang dimuat naik ke Facebooknya mendedahkan ada pemimpin Umno Perak menawarkan jawatan menteri besar kepadanya dalam satu pertemuan 1 November lalu.
Sebelum ini, media melaporkan Umno Perak mendakwa wujud gerakan serius menjatuhkan Faizal oleh beberapa exco negeri menerusi usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perkara itu didedahkan Saarani dan mendakwa rancangan tersebut hendak dilaksanakan beberapa exco dengan cuba memujuk sekurang-kurangnya 5 Adun Barisan Nasional menyokong usul undi tidak percaya yang akan dibuat di DUN.