16 termasuk 3 pekerja pemaju direman atas kekecohan kuil Subang Jaya

16 termasuk 3 pekerja pemaju direman atas kekecohan kuil Subang Jaya

Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili 3 daripada pekerja One City itu berkata, anak guam mereka direman 2 hingga 4 hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Sebahagian daripada 16 individu yang dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk permohonan perintah reman bagi membantu siasatan kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majisret di sini hari ini mengeluarkan perintah reman 2 hingga 5 hari terhadap 16 individu, termasuk 3 pekerja syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd bagi membantu siasatan kes di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, semalam.

Majistret Nor Ariffin Hisham mengeluarkan perintah reman ke atas semua suspek berusia 18 hingga 49 tahun itu bermula hari ini, selepas membenarkan permohonan polis menahan reman mereka bagi membantu siasatan kes di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).

Ketika ditemui di luar mahkamah selepas tamat prosiding reman, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili 3 daripada suspek yang juga pekerja pemaju itu berkata, anak guam mereka direman 2 hingga 4 hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Kejadian kira-kira 2 pagi Isnin itu tercetus, apabila puluhan individu berkumpul dan merusuh di sekitar kuil sehingga berlaku pergaduhan antara 2 kumpulan yang menyebabkan berpuluh kenderaan dan 2 motosikal terbakar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.