
“Adalah wajar untuk kerajaan jelaskan perkara ini. Yang penting ialah rakyat berhak untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku,” kata menteri kewangan itu ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Ditanya sama ada wajar untuk Jabatan Audit Negara mengeluarkan kenyataan semalam yang mendedahkan beberapa pindaan yang dilakukan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB memandangkan perkara itu sudah dibawa ke mahkamah.
“Saya tak mahu komen sebab tidak mahu terpalit kontroversi dengan pegawai Najib tapi hasrat kita ialah nak bercakap benar dan biar rakyat tahu perkara sebenar.
“Sampai sebut Najib dan pegawainya boleh pinda dan gugur laporan, bukankah itu adalah pengkhianat,” soalnya.
Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut mempersoalkan tindakan sebuah akhbar mengeluarkan berita mengenai pindaan itu lebih awal daripada kenyataan yang dikeluarkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.
“Saya pun terkejut macam mana mereka tahu. Adakah mereka akan ditanya mana mereka tahu dan wajar atau tidak menyiarkan perkara itu jauh lebih awal.
“Saya rasa kena seimbanglah kerana dalam hal ini apa yang penting adalah rakyat berhak untuk mengetahui perkara yang sebenar,” katanya.
Perenggan berkaitan Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB diarah digugurkan dalam penyediaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.
Menurut Madinah, perkara itu diarahkan bekas ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri, Tan Sri Shukry Salleh pada 26 Februari 2016 atas alasan ianya sensitif dan untuk mengelak fakta diputar-belit oleh pihak pembangkang ketika itu.
Madinah berkata beliau menyampaikan taklimat kepada mesyuarat Jemaah Menteri mengenai pindaan kepada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016.