
Dalam satu kenyataan hari ini, polis mengesahkan kejadian melibatkan 2 kumpulan itu di kuil Sri Maha Mariamman berhampiran susur keluar USJ di lebuh raya Elite dan USJ 16 dan 21.
“Setelah menerima laporan, semua elemen polis telah sampai di kawasan kuil bagi memastikan keadaan terkawal tanpa sebarang rusuhan berlaku.
“Polis akan melaksanakan tugasan mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam semasa proses pemindahan kuil,” kata kenyataan itu di laman Facebook.
Ia menambah, keadaan adalah terkawal, sekali gus menasihati orang ramai tidak mengambil apa-apa tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.
Kekecohan tersebut dikatakan tercetus kira-kira jam 2 pagi tadi, dengan pasukan polis daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan ke lokasi untuk mengawal keadaan.
Aliran lalu lintas di kawasan itu juga dilaporkan terhenti.
Kuil berkenaan dijadualkan berpindah pada 22 Nov berikutan penyelesaian mahkamah melibatkan pemaju, One City Development Sdn Bhd, kerajaan negeri Selangor dan 2 penuntut terhadap pentadbiran kuil, K Chellapa dan M Nagaraju.
Bagaimanapun satu kumpulan dalam kalangan penganut di kuil berkenaan berkeras mahu ia dikekalkan di tapak sedia ada, dan tidak dipindahkan ke tapak baru 3km dari situ, walaupun selepas bersetuju berbuat demikian dalam satu penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi pada 2014.
Mereka mendakwa penghakiman tersebut telah diengkari.