
Menurut catatan media sosial pasukan polis daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan ke situ untuk mengawal keadaan, yang dikatakan meletus pada jam 2-3 pagi tadi.
Klip video kejadian menunjukkan aliran lalu lintas di kawasan itu terhenti apabila orang ramai berhimpun di hadapan kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25.
Difahamkan penganut kuil mengadakan kawalan 24 jam di situ.
Ketika dihubungi, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, beliau dalam perjalanan ke lokasi kejadian.
Kuil berkenaan dijadualkan berpindah pada 22 Nov berikutan penyelesaian mahkamah melibatkan pemaju, One City Development Sdn Bhd, kerajaan negeri Selangor dan 2 penuntut terhadap pentadbiran kuil, K Chellapa dan M Nagaraju.
Bagaimanapun, satu kumpulan penganut berkeras mahu mengekalkan kuil tersebut di lokasi sedia ada, walaupun selepas bersetuju menerima penghakiman persetujuan mengenai penempatan semula pada 2014.
Chellapa dan Nagaraju, yang terbabit dalam tindakan undang-undang berasingan berhubung kawalan ke atas pentadbiran kuil, bersetuju menyerahkan semula tanah berkenaan kepada One City selepas ia bersetuju memberi derma sebanyak RM1.5 juta untuk membina sebuah kuil baru di salah satu daripada 2 lot tanah yang diberikannya kepada pihak kuil tersebut.
Chellapa dinamakan sebagai pengurus kuil yang sah, tetapi Nagaraju enggan mematuhi penghakiman persetujuan untuk berpindah yang dicapai di Mahkamah Tinggi pada 2014.
Pada 23 Nov, One City menafikan ia bersetuju menangguhkan penempatan semula kuil berkenaan kepada 29 Nov depan dengan berkata, tarikh akhir penghuni kuil perlu mengosongkan tanah kekal pada 22 Nov seperti tercatat dalam writ milikan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi.