
M Kulasegaran berkata kementeriannya akan mendengar terlebih dahulu hasil perbincangan esok dan masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian.
“Kita perlu tengok bagaimana mereka menyelesaikan perkara tersebut. Antaranya, mengambil semula pekerja terbabit kembali bekerja atau perbincangan dari segi pampasan.
“Jika tidak, perkara itu akan dirujuk kepada menteri untuk membuat keputusan sama ada perkara itu akan dirujuk kepada mahkamah atau sebagainya,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Kulasegaran juga enggan membuat sebarang kenyataan atau andaian yang boleh mengeruhkan lagi situasi ketika ini.
Katanya, beberapa inisitif daripada Kementerian Sumber Manusia wujud ketika ini dalam membantu mereka yang dibuang kerja termasuk Sistem Insurans Pekerja (SIP).
Beliau sebelum itu menerima memorandum daripada Presiden Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (KSKSTMB), Khairuzzaman Mohamad serta beberapa ahli kesatuan tersebut di lobi Parlimen.
Terdahulu, media melaporkan KSKSTMB dan Kesatuan Eksekutif Sistem Televisyen Malaysia Berhad (KESTMB) membantah pelaksanaan pemberhentian 190 pekerja teknikal Jabatan Eng dan Props serta proses MSS secara paksa seramai 43 orang daripada Jabatan Berita dan Perkhidmatan Pengurusan.
Kesatuan itu turut menggesa campurtangan kerajaan untuk membatalkan tindakan pengurusan Media Prima dalam melaksanakan pemberhentian kerja yang tidak mengikut lunas undang-undang.
Antara kandungan memorandum itu menyebut pihak pengurusan Media Prima tidak pernah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu sebelum mengumumkan langkah pemberhentian 190 orang pekerja mereka.
Tindakan itu juga didakwa melanggar Kod Kelakuan bagi Keharmonian Perusahaan 1975 apabila majikan gagal berunding dengan pihak pengurusan termasuk melaksanakan langkah awal seperti pemotongan gaji, mengurangkan waktu kerja dan mengawal kerja lebih masa.