
“Saya lihat daripada kenyataan pendek yang dikeluarkan sebelum ini, mereka (kerajaan) tidak mahu ratifikasi ICERD, jadi persoalan yang timbul, bagaimana 5 daripada 6 yang lain. Apakah 5 yang lain itu tidak beri ancaman kepada negara.
“Ada beberapa perkara yang menunjukkan kita tidak boleh merujuk kepada ICERD semata-mata, 5 perjanjian lain juga mempunyai risiko yang besar,” kata Nasruddin Hassan.
Nasruddin merujuk kepada 6 konvensyen PBB tentang hak asasi manusiayang belum ditandatangani oleh Malaysia, termasuk Konvensyen Hak Sivil dan Politik, Konvenan Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya, Konvensyen Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka, Konvensyen Perlindungan Semua Orang Daripada Penghilangan Paksa, Konvensyen Mengenai Status Pelarian dan Konvensyen Mengenai Penyiksaan dan Layanan serta Hukuman Zalim, Tidak Berperikemanusiaan dan Menjatuhkan Maruah.
Nasruddin berkata, walaupun kerajaan sudah mengeluarkan kenyataan tidak meratifikasi ICERD, namun masih terdapat gesaan daripada pihak tertentu seperti Suhakam yang mendesak Malaysia meratifikasi konvensyen lain dalam PBB tentang hak asasi manusia.
“Kita tidak berpuas hati tentang pendirian kerajaan. Adakah benar mereka mahu ICERD sahaja, atau yang lain akan dilaksanakan nanti, atau mereka mahu menolak keseluruhannya. Saya tidak mahu ia dimanipulasi dalam keadaan nantinya mereka akan teruskan perjanjian lain.
“Ada kenyataan daripada Suhakam yang menyatakan hukuman sebat di Terengganu bercanggah dengan salah satu konvensyen PBB tentang hak asasi manusia, dengan itu mereka turut desak memansuhkan semua hukuman undang-undang yang berkait supaya dapat ikut kehendak undang-undang antarabangsa.
“Jadinya sudah ada desakan yang bukan sahaja berkaitan ICERD. Saya nampak apabila ia diratifikasi, mahu atau tidak mahu, konvensyen itu akan mencengkam negara,” katanya dalam Kongres Tolak ICERD di PWTC, hari ini.
ICERD diluluskan di Perhimpunan Agung PBB pada 1965 tetapi tidak diratifikasi oleh Malaysia sehingga kini. Ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin orang Melayu bahawa ia bertentangan dengan Perkara 153 perlembagaan persekutuan, yang merupakan asas bagi dasar afirmatif untuk melindungi orang Melayu dan Bumiputera.
Pada Julai lalu, Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berjanji untuk berusaha meratifikasi 6 konvensyen hak asasi manusia antarabangsa yang masih belum ditandatangani.
Disebabkan itu, Nasruddin berkata, beliau curiga dengan komitmen kerajaan bukan sahaja membabitkan ICERD, sebaliknya keseluruhan konvensyen PBB tentang hak asasi manusia.
“Di Parlimen, menteri luar negeri kita buat kenyataan bahawa kerajaan memberi jaminan bukan sahaja akan ratifikasi ICERD, tetapi semuanya, iaitu 6 konvensyen lain.
Turut hadir pada kongres berkenaan ialah bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang mewakili Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Nasruddin dan Zambry merupakan ahli panel satu forum yang dipengerusikan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof Datuk Dr Hassan Mad.
Tujuan kongres adalah untuk menjelaskan isu berkaitan ICERD dan implikasinya ke atas negara, terutama orang Melayu dan Bumiputera sekiranya kerajaan meratifikasi konvensyen tersebut.
Program yang dianjurkan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Ummah, Sekretariat Kedaulatan Negara dan The Patriots itu dihadiri lebih 200 penyokong PAS dan Umno.