Malaysia tak benarkan Firefly beroperasi di Lapangan Terbang Seletar

Malaysia tak benarkan Firefly beroperasi di Lapangan Terbang Seletar

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang Firefly menggantung perkhidmatan ke dan dari Singapura, berkuatkuasa 1 Disember ini.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura berkata, Firefly bersetuju memindahkan operasinya dari Lapangan Terbang Changi ke Lapangan Terbang Seletar. (Gambar Bernama)
SINGAPURA:
Firefly tidak mendapat kelulusan daripada pengawal selia Malaysia, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk beroperasi di Lapangan Terbang Seletar.

Unit Malaysia Airlines itu memaklumkan Changi Airport Group (CAG), pengendali Lapangan Terbang Seletar berhubung perkara itu pada 14 November lalu, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).

CAAS hari ini mengeluarkan kenyataan bagi menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan CAAM berhubung penggantungan perkhidmatan Firefly ke dan dari Singapura, berkuatkuasa 1 Disember ini.

CAAS berkata, pada 2014, ia memaklumkan Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Firefly berhubung pemindahan penerbangan pesawat enjin turbo-prop dari Lapangan Terbang Changi ke Lapangan Terbang Seletar.

“Firefly bersetuju memindahkan penerbangannya ke Lapangan Terbang Seletar,” kata jurucakap CAAS.

Menurutnya, CAG pada Julai lalu secara rasmi memaklumkan Firefly yang penerbangannya akan dipindahkan ke Lapangan Terbang Seletar pada 1 Disember ini, yang mana Firefly sudah bersetuju.

Beliau berkata, Singapura sudah membuat semua persiapan dan meluluskan permohonan Firefly untuk membuat penerbangan ke dan dari Lapangan Terbang Seletar.

Katanya, Lapangan Terbang Seletar memenuhi semua syarat keperluan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa bagi reka bentuk dan operasi lapangan terbang itu.

CAAS meminta CAAM memaklumkan kebimbangan kawal selia khusus mereka berhubung operasi selamat Firefly ke Lapangan Terbang Seletar.

“Singapura menunggu penjelasan Malaysia berhubung kebimbangan ini agar kedua-dua pihak dapat mengadakan dialog membina,” kata jurucakap itu.

Dalam kenyataan Jumaat lalu, CAAM berkata, ia tidak pernah dirunding mengenai tempoh memindahkan operasi enjin turbo-prop berjadual ke Lapangan Terbang Seletar bermula 1 Disember ini.

“CAAM mahu mengetengahkan bagi tujuan operasi selamat Firefly ke Lapangan Terbang Seletar, terdapat isu kawal selia yang perlu diselesai antara pihak berkuasa penerbangan kedua-dua negara,” kata pihak berkuasa penerbangan itu.

“Sehubungan itu, Malaysia bersedia bekerjasama dengan Singapura mengenai isu kawal selia berkaitan rancangan Singapura memindahkan operasi Firefly dari Lapangan Terbang Changi ke Lapangan Terbang Seletar, termasuk isu ruang udara yang akan dibincangkan, terutamanya menyemak semula terma dan syarat delegasi ruang udara Malaysia ke Singapura bagi peruntukan Perkhidmatan Trafik Udara,” kata CAAM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.