
Nasaruddin berkata, pusat pengeluaran baharu untuk MAG Catering Solutions (MAGCS) itu dijangka mampu menyediakan lebih 50,000 hidangan dalam penerbangan setiap hari, hampir sekali ganda berbanding kadar semasa, iaitu 26,000 hidangan.
“Kadar pengeluaran MAGCS pada masa ini tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan MAB dan Firefly, dan kami disokong oleh rakan-rakan katering yang lain,” katanya kepada pemberita selepas sebuah majlis hari ini.
“Pusat baharu ini bertujuan menampung semua rangkaian MAB dan kami akan mempunyai lebihan kapasiti untuk menyokong syarikat-syarikat penerbangan lain di bawah MAG.”
Nasaruddin berkata, pengumuman lanjut akan dibuat tahun depan, sejurus MAG memperoleh lesen-lesen berkaitan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Pada 2023, MAG menubuhkan unit kateringnya sendiri selepas menamatkan kontrak dengan Brahim’s Food Services, yang menjadi penyedia perkhidmatannya selama lebih 25 tahun.
Proses peralihan untuk menguruskan sendiri perkhidmatan katering penerbangan itu menimbulkan beberapa masalah serta rasa tidak puas hati dalam kalangan penumpang bagi laluan-laluan tertentu.
Menurut Nasaruddin, perkhidmatan katering bagi syarikat-syarikat penerbangan MAG kini telah pulih sepenuhnya dan tidak lagi menjejaskan prestasi ketepatan masa penerbangan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama terbaru MAG bersama syarikat teknologi gergasi dijangka akan meningkatkan sumber pendapatan serta memperkukuh operasi digital syarikat.
Katanya, MAG akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi kewangan (fintech), dan Internet Pelbagai Benda (IoT) bagi mempercepat pembangunan platform digitalnya.
Semalam, MAG mengumumkan kerjasama strategik dengan Adobe, Google, Skyscanner dan Visa untuk menambah baik perkhidmatan tempahan dalam taliannya.