Mahasiswa lawan arus jalan raya, desak PH tunai janji PTPTN

Mahasiswa lawan arus jalan raya, desak PH tunai janji PTPTN

Himpunan hari ini adalah tanda bantahan mahasiswa terhadap kerajaan yang mengingkari manifestonya sendiri.

Perarakan yang bermula dari Masjid Jamek itu melalui pusat membeli belah Sogo menyebabkan kenderaan tidak bergerak.
KUALA LUMPUR:
Lebih 300 mahasiswa hari ini berarak ke Ibu Pejabat Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi (PTPTN) bagi membantah keputusan Pakatan Harapan (PH) berkaitan pembayaran semula pinjaman dalam Bajet 2019.

Exco Politik Gabungan Mahasiswa Islam (GAMIS) Yazid Khairul Azman berkata, himpunan yang diadakan pada hari ini adalah sebagai tanda bantahan mahasiswa terhadap kerajaan yang mengingkari manifestonya sendiri.

“Kita tuntut janji berkaitan PTPTN untuk selamatkan negara ini, untuk selamatkan pemimpin kita, kita tidak mahu mereka mewarisi sifat yang memungkiri janji.

“Jadi apabila sudah mungkir, maka memilih PH tidak berbaloi lagi dan menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia membuang (PH) dari Putrajaya. Ia adalah isyarat kepada kerajaan.

“Hal ini kerana terdapat sebilangan mahasiswa yang mengundi PH atas sebab pembaharuan yang mereka tawarkan, namun mereka mungkiri,” katanya sewaktu berucap dalam himpunan itu.

Perarakan yang bermula di Masjid Jamek itu melalui pusat membeli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Namun, perarakan yang menentang arus jalan raya menyebabkan kenderaan tidak bergerak.

Mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat dalam himpunan ini rata-ratanya memakai baju berwarna hitam, dengan membawa sepanduk “Tuntut Janji PTPTN”.

Sewaktu berarak, mereka turut melaungkan “Tolak Dr Maszlee Malik”, “Tuntut Janji PTPTN”.

Yazid berkata, sekiranya rakyat Malaysia, termasuk mahasiswa boleh menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya lepas, maka perkara sama boleh dilakukan terhadap PH dalam pilihan raya akan datang.

Himpunan yang bermula kira-kira jam 2 petang itu berakhir pada 3.40 petang di Menara PTPTN, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur.

Sebelum berakhir himpunan, kumpulan itu turut meninggalkan semua plakad, patung yang dibawa di hadapan pejabat PTPTN di situ.

Himpunan yang mendapat kawalan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bagaimanapun berakhir dengan aman dan tidak ada sebarang tangkapan dibuat.

Sebelum ini, Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan mengemukakan permohonan maaf terbuka atas kegagalan PH menunaikan janji mengurangkan beban peminjam dengan membenarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman bagi mereka yang mendapat gaji bulanan di bawah RM4,000.

Wan Saiful berkata, beliau mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan itu kerana beliaulah yang membuat cadangan berhubung pinjaman pelajaran tersebut dalam manifesto pilihan raya PH Mei lepas.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawanan 2019 mengumumkan peminjam PTPTN dengan gaji paling kurang RM1,000 sebulan adalah tertakluk kepada jadual pembayaran balik hutang progresif pada kadar 2% hingga 15% daripada gaji bulanan mereka.

Presiden GAMIS, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai dalam ucapannya mendesak Wan Saiful meletakkan jawatan sebagai pengerusi PTPTN.

“Semua mahasiswa bersepakat meminta Wan Saiful meletakkan jawatan kerana tidak melaksanakan janji dalam manifesto, alasan yang diberikan pula sangat tidak munasabah.

“Kita tahu juga, gaji menteri sangat banyak jika dibandingkan dengan rakyat awam yang biasa. Katakan kalau tidak cukup, kena potong gaji menteri, jangan potong wang mahasiswa,” katanya.

Faizzuddin berkata, mahasiswa turut menuntut Wan Saiful mendedahkan gaji yang diterimanya sebagai pengerusi PTPTN dan berapa peratus daripada gajinya itu disumbangkan kepada perbadanan berkenaan.

“Kita mahu tahu juga berapakah gaji Wan Saiful Wan Jan dan berapa peratuskah gajinya yang dipotong untuk PTPTN. Kalau sekadar mempunyai jawatan untuk meraih kekayaan maka kita tolak secara habis-habisan,” katanya.

Jelasnya, pengumuman menteri kewangan sewaktu pembentangan Belanjawan 2019 berkaitan pinjaman PTPTN dilihat lebih kejam daripada apa yang dilakukan pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Umno dan BN dahulu berikan masa setahun kepada mahasiswa sebelum meminta mereka membuat pembayaran balik PTPTN. Tetapi tindakan kerajaan PH pula sangat menyedihkan.

“Pada 2019, gaji mahasiswa perlu dipotong bagi  pembayaran pinjaman PTPTN. Kita bersepakat akan pergi ke seluruh pejabat PTPTN setiap negeri untuk bincangkan polisi yang ditetapkan itu.

“Ini sistem yang menekan orang miskin dan menguntungkan mereka yang berpendapatan tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.