
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, Lim dan pemimpin DAP lain seharusnya bersimpati terhadap nasib pelajar miskin di Kolej TAR dan UTAR serta tidak mempolitikkan aset MCA yang tidak dapat dicairkan untuk kepentingan sendiri.
“Janganlah kerana mahu menganiayai MCA, mereka menghukum TAR UC dan UTAR. Ketika ini, 95% orang Cina mengundi anda hingga membolehkan anda berkuasa. Orang Cina tidak meminta diberikan sumbangan atau faedah, tetapi jangan sekat atau ambil hak mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Lim menggesa MCA supaya memutuskan hubungan dengan Kolej TAR dan UTAR bagi membolehkan kerajaan menyediakan peruntukan lebih kepada kedua-dua institusi pengajian tinggi berkenaan.
Dalam Bajet 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyediakan dana pembangunan sebanyak RM5.5 juta untuk UTAR dan Kolej TAR, namun kedua-dua institusi itu tidak mendapat sebarang geran daripada kerajaan.
Ti berkata, Kolej TAR terbukti menyediakan peluang untuk pelajar miskin menyambung pengajian dan banyak yang telah berjaya, bahkan sesetengahnya menjadi pemimpin politik seperti Teresa Kok dari DAP dan Datuk Salahuddin Ayub yang kini merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
“Faktanya, ramai lepasan Kolej TAR adalah pemimpin DAP dan penyokong PH. Ini menunjukkan walaupun MCA merupakan pengasas institut pengajian berkenaan, namun ia tidak mengeksplotasi atau mempolitikkan institusi berkenaan. Bahkan MCA tidak pernah mengambil sebarang dana daripada institusi tersebut.
“Semua dana yang terkumpul adalah untuk pembangunan dan pengurusan kolej bagi tujuan pembelajaran dan pembangunan komuniti. Terbukti ramai sudah berjaya. Jadi, mengapakah Lim menganiayai dan memangsakan Kolej TAR dan UTAR ketika ini?,” soalnya.
Tambah Ti, UTAR dan Kolej TAR merupakan milik komuniti dan sebagai peringatan bersejarah usaha MCA membantu masyarakat Cina selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969, apabila golongan tersebut disasarkan kerana tujuan politik ekoran ketegangan kaum yang berlaku pada masa itu.
“Jadi kenapa Lim memberi keutamaan mahu menghancurkan MCA dan merosakkan nama baik dan pentadbiran Kolej TAR dan UTAR? Adakah kami menghancurkan negara atau komuniti? Kenapa Kolej TAR dan UTAR dijadikan sasaran,” soalnya lagi.