
Anak syarikat Malaysia Airlines itu memaklumkan tindakan berkenaan kepada penumpang terjejas melalui platform media sosialnya.
“Jika anda tidak menerima itinerari anda, jangan risau kerana ia sedang dihantar,” kata Firefly dalam status Facebook membabitkan penumpang Subang-Singapura dan Kuantan-Singapura yang dijadualkan berlepas bulan depan.
Pada 22 November lalu, waktu operasi Pusat Panggilan Firefly dilanjutkan sehingga 11 malam selepas ia menerima kadar panggilan tinggi, berikutan pengumuman syarikat itu mengenai penggantungan penerbangan “masuk dan keluar” Singapura.
Dalam pengumuman awal, Firefly menjelaskan ia terpaksa menggantung penerbangan ke Singapura sehingga pihak berkuasa berkaitan menyelesaikan perkara berhubung cadangan pemindahan operasi pesawat berkipas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi ke Lapangan Terbang Seletar.
Menurut Firefly, ia tidak diperuntukkan sebarang garis masa muktamad oleh pihak berkuasa mengenai kelewatan pemindahan itu.
Firefly akan menyambung penerbangan ke Singapura, sebaik sahaja kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan diselesaikan.
Pada Julai 2018, Lapangan Terbang Seletar yang diuruskan oleh Kumpulan Lapangan Terbang Changi berkata Firefly akan berpindah ke terminal baharu apabila ia mula beroperasi pada penghujung tahun ini.
Ketika ini, Firefly mengendalikan 20 penerbangan harian menggunakan pesawat berkipas membabitkan Subang, Ipoh dan Kuantan di Lapangan Terbang Changi.
Dalam laman webnya, Firefly memberi penjelasan kepada penumpang, tindakan yang akan diambil berhubung tempahan tiket mereka.
Untuk laluan Subang-Singapura dan Singapura-Kuantan, syarikat penerbangan itu sedang berusaha menempatkan penumpang terjejas dalam penerbangan Malaysia Airlines tanpa sebarang kos tambahan atau bayaran balik sepenuhnya dalam tempoh 30 hari bekerja.
Laluan Singapura–Ipoh, bayaran balik sepenuhnya akan dibuat dalam 30 hari bekerja atau penumpang boleh bertukar ke destinasi Firefly lain tanpa sebarang kos tambahan.
Firefly bagaimanapun tidak akan membayar pampasan untuk sebarang lawatan terlepas, sambungan penerbangan dengan syarikat penerbangan lain, pembatalan tempahan hotel atau apa-apa perbelanjaan yang dikeluarkan akibat penggantungan laluan ini.
“Kita sudah melakukan yang terbaik untuk mengurangkan gangguan dengan makluman awal, termasuk memberikan senarai opsyen bantuan kepada penumpang terjejas bagi memudahkan mereka membuat persiapan.”